ENTRY-ENTRY BARU..JOM JENGUK

Friday, March 17, 2017

Syurga yang dibenci

SYURGA YANG DIBENCI
 
 
1- semaknya lahai. Masuk je pagar dah bersepah mainan dari ruang tamu hingga ke dapur. Dengan anak comot tak mandi bagai.
 
2- semaknya lahai. Harap le juga bini tunggu depan pintu wangi-wangi. Rupanya sampai rumah bini ntah di mana-mana dengan baju kelawar dan bedak sejuk.
 
3- semaknya lahai. Nak cium dahi bini pun bau bawang la, belacan la, minyak masak tanpa GST la...
 
4- semaknya lahai. Kekadang bini bukan sampai rumah lagi pun. Ntah di atas jalan mana sangkut jammed balik keja!
 
5- semaknya lahai. Dulu bini bersize kerengga sekarang bersaiz lori alam flora pula.
 
6- semaknya lahai. Asal balik je dengar bini membebel itu ini. Dengan jeritan anak bergaduh bagai.
 
7- semaknya lahai. Ipar duai mengadu bini saya tidak sempurna dan tidak baik juga.
Dan banyak lagi kesemakan yang kita rasa sebagai suami. Kita rasa kita tersalah memilih isteri. Kita rasa kita adalah suami yang paling malang di dunia.
 
Ya.. Sebagai arjuna perkasa kita tidaklah update di FB atau Insta tentang kekecewaan kita. Kita juga tidaklah menangis call mak di kampung untuk bercerita. Namun di dalam jiwa, kekecewaan kita meronta-ronta dan akhirnya bertukar menjadi barah yang memakan diri.
 
Maka duhai arjuna mulia, perlahan-lahan kita mula jadi pendiam, kita bagi silenced treatment pada anak isteri, kita semakin kurang senyuman, kita mula lepak di mamak tengok bola malah yang semakin hardcore, kita mula angkat tangan kaki kepada isteri. Tersalah kari terlebih masin, pinggan mula dibaling ke dinding.
 
Duhai arjuna sang suami mulia, pada saat akad dilafaz maka segala dosa pahala wanita diserahkan dari sang bapa kepada sang suami. Ironinya jasad, jiwa, hidup dan mati seorang wanita dipersembahkan sepenuhnya kepada anda aduhai suami mulia.
 
Sang isteri tinggalkan ibu, tinggalkan ayah, tinggalkan keluarga dan tinggalkan keseronokan hidup sebagai gegadis muda. Penyerahan yang dipenuhi kepasrahan dengan harapan beroleh bahagia.
Duhai arjuna, sesekali pandanglah wajah isteri. Tenunglah setiap garis-garis airmata di pipi. Seperti mana anda tidak bahagia, begitulah juga wanita. Sebab itulah sang isteri membebel itu ini. Wanita mahu didengar. Terkadang marahnya memuncak dan emosinya celaru. Peluklah isteri berbau bawang anda itu. Kasihanilah dia...
 
Ya... Dulu dia bersaiz kerengga, secantik secretary di office anda, sewangi Mira Filzah dan selincah Neelofa. Namun, tanggungjawab keluarga didulukan dia. Dulu wang gajinya untuk perfume Estee Lauder, kasut Bonia, make up Loreal dan handbag Gucci. Namun kini wang gajinya untuk kos sara hidup bersama anda. Maka anda masih tertanya-tanya kenapa isteri tidak sewangi dulu?
 
Jika di zaman gadis dia punya kawan. Di hujung minggu dia ke SPA bermandi susu. Kini di hujung minggu dia bersama anda dan mengendong anak-anak. Manalah lagi bajet pembelian baju cantik selain set kelawar yang dipakai dia?
 
Duhai arjuna mulia, bila isteri bercerita sahutlah dia dengan cinta. Janganlah menjeling hatta bergurau untuk berpoligami dengan Neelofa. Biarpun sang isteri tersenyum, hakikatnya dia terluka. Jiwanya jadi takut dan risau. Manalah tahu kalau-kalau suami sekacak bangla dirampas sesiapa?
 
Duhai arjuna mulia, sejenak usaplah tangan isteri. Lihatlah tangan yang pernah gebu kini bercalar dengan minyak panas akibat berusaha menyediakan makanan buat keluarga.Ya, wanita bergelar isteri mengorbankan keseronokan di zaman remaja demi membina hidup bersama kita.
 
Tidak cukupkah lagi sembilan bulan sepuluh hari wanita ini mengendong zat zuriat suami yang paling dicintai? Malamnya berkeluh kesah tidak mampu lena akibat tendangan bayi.
 
Tidak cukupkah lagi wanita berkali-kali mati demi melahirkan zuriat yang paling istimewa. Tanyalah secretary secantik Neelofa, sanggupkah dia mati untuk anda?
 
Usahlah bandingkan isteri dengan kejelitaan Che Ta. Che Ta bermandi susu sedangkan isteri bermandikan airmata.
 
Tidak cukupkah lagi wanita menyusukan anak hingga dua tahun? Segala bentuk badan mula mengendur dan segala kecantikan mula pudar. Badan mula penat dan mulut mula berbunyi. Jangankan make up, mahu disapu bedak sejuk ke muka juga sudah tidak punya daya?
 
Ingin juga dibayar bibik dari Jawa namun gaji kita pula tidak seberapa. Maka sang isteri yang penat gagahkan juga uruskan kerja di pejabat berserta hal ehwal keluarga seusai subuh pagi sehingga lewat senja.
 
Di manakah kita? Sedang menonton bola bersama rakan, bergelak ketawa dan bergembira minum teh bersama secretary. Kita mungkin sedang membina badan di gym atau bermain golf di padang ketika isteri menggelupur kelelahan.
 
Sampainya hati kita mula rasakan dia tidak teristimewa seperti dulu. Terkadang mahu dihulur wang untuk dibeli barangan dapur pun kita marah bagaimana mahu ditaja peralatan make up pula?
 
Duhai arjuna mulia, kita bukan Tan Sri berharta. Kita juga tidak sehensem mana. Bersyukurlah isteri kita sentiasa setia. Pedulikan saja umpatan ipar duai hatta mentua jika ada. Baik atau tidak, isteri anda adalah ibu kepada anak-anak tercinta. Isteri juga punya hak yang perlu dijaga. Jika salah, betulkan dia selayaknya. Jangan diabai, dibenci dan dikasari hatinya.
 
Duhai arjuna mulia, beritahu isteri betapa istimewanya dia dihati anda. Khabarkan betapa anda cintai dia minimum sepuluh kali sehari. Ciumlah dahi isteri setiap pagi, tanda dia sepenuh hati kita dicintai.
Dengan kuasa cinta anda duhai arjuna mulia, sang isteri akan menjadi luar biasa jelita, luar biasa bahagia dan luar biasa gembira.
 
Yakinlah, jika sentiasa saling memperbaiki diri, rumahtangga tidak akan menjadi SYURGA YANG DIBENCI.
 
Salam sayang
#kongsiilmu
#learnfromobservation
#copypaste
#sharingjumaat
#bukannukilanmakkhairy

1 comment:

Mama Zharfan said...

for me...i keep on reminding myself...rumah yg bersepah (wpun slps 5 minit dikemas) adalah petanda we have kids around us...
one day..bila our kids dh besar..kita akan merindui all those moments...so cherish it while it lasts...