ENTRY-ENTRY BARU..JOM JENGUK

Monday, May 28, 2018

KWSP 2%.ini rasanya pandangan paling ok dan sesuai pandangannya..

Di tempat kerja semalam, saya berbual dengan rakan-rakan wanita. Tentang cadangan mewujudkan caruman KWSP untuk suri rumah. Saya kata baguslah. Untuk masa depan para isteri, mereka juga tunggak kemajuan sesebuah negara dan negeri. Kita tidak tahu apa akan berlaku di masa hadapan nanti. Sekurang-kurangnya walaupun berjawatan surirumah, biarlah mereka berpeluang merasa lega dengan adanya simpanan persaraan sendiri.

Tiba-tiba seorang lelaki, teman tidak sejawatan yang sudah lama duduk di kaunter berhadapan dengan kami meluah kata. Lebih tepat lagi mengherdik. Fokus utamanya kepada saya. Saya ingat sepatah-sepatah apa yang diucapkannya.

"Hang kalut pasaipa. Hang gaji basic dah blablabla. Laki hang ada PhDkan. Hang gred 44 laki hang gred berapa 51? 52? 54? Pendapatan isi rumah ampa belas-belas ribu, dah masuk T20. Hang belum masuk skim pencen lagi KWSP hang dah puluh-puluh ribu. Orang duk cerita pasai orang macam kami ni, orang B40, nak makan tak cukup nak kena bagi KWSP untuk bini lagi".

Saya terdiam. Sedih diherdik. Tapi kagum juga dengan tahap pengetahuan am lelaki itu. Saya sendiri pun baru kelmarin tahu apa kebendanya B40, M40, T20 semua 😂.

Waktu kerja tamat tidak lama kemudian. Beberapa rakan menasihatkan saya supaya tidak mengendahkan lelaki berkenaan. Saya cuma membalas dengan senyuman.

Saya juga ada kisah untuk diceritakan. Mengapa saya bersetuju dan menyokong tindakan kerajaan mahu suri rumah mempunyai caruman KWSP sendiri. Sedangkan saya wanita berkerja, caruman bulanan KWSP dari gaji saya sendiri jauh besar berbanding yang disarankan kerajaan untuk golongan suri rumah melalui potongan gaji suami ini. Saya sepatutnya boleh buat tidak peduli, spare myself from being said nasty thing. Tapi saya peduli.

Kerana saya pernah menjadi suri rumah. Saya tahu perit rasanya tidak ada pendapatan sendiri. Tidak ada simpanan sendiri, jika adapun semakin susut lama-lama habis atau kejap ada kejap tiada. Lebih-lebih lagi bila dahulu kau pernah berkerjaya kemudian kau berhenti kerana mahu memberi tumpuan untuk urusan rumah tangga. Saya tahu bagaimana rasanya setiap pagi bila kau salam cium tangan suami, dia berbau wangi, pakai kemeja rapi, tapi kau hanya berdiri tepi pintu, dalam uniform dapur kesan susu anak, kadang-kadang melekat bau kari. Kau lambai suami, kau hantar dia pergi cari rezeki, kau pamer senyuman yang terpaling manis sekali, tapi kau menangis dalam hati, kadang-kadang tanpa sedar kau "sobbing" sendiri walaupun tiada air mata yang turun di pipi. Kau ada rasa hiba yang datang tiba-tiba. Entah dari mana.

Saya pernah rasa itu semua. Sebab saya pernah tidak berkerja. Selepas saya balik Malaysia 2 tahun lalu setelah bertahun tinggal di luar negara. Waktu itu saya rasa, saya fikir, saya redha. Saya ingatkan dengan tidak berkerja saya akan gembira. Tapi ada satu perasaan dalam hati - rasa takut, rasa tidak pasti. Saya tahu jika saya cerita begini orang akan cakap "Ah kau tidak percaya qada qadar, konsep rezeki". Atau, "Faraid ada, kebajikan anak-anak akan terjaga". Atau, "Rezeki dari Allah bukan dari KWSP".

Tapi tuan-tuan, puan-puan, hari ini ramai orang sudah tidak takut Tuhan. Tidak takut tegahan agama. Berapa kerap kita dengar anak-anak yatim terabai, para balu terpaksa keluar mencari kerja kerana faraid disalahguna. Keluarga suami berebut segala harta peninggalan arwah, akhirnya anak-anak dan isteri terhantar ke jalanan, tidak berumah.

Saya juga pernah mendengar kenalan rapat bercerita tentang kerabat jauh suaminya (bukan keluarga dekatpun) yang sudah merancang dan "menolong" buatkan rancangan untuk simpanan KWSP suami kenalan saya ini apabila beliau masuk ke skim pencen nanti (bagi kakitangan kerajaan, selepas diserap ke jawatan tetap, jika memilih untuk masuk ke skim pencen, mereka boleh mengeluarkan caruman KWSP). Saya namakan kenalan rapat saya ini Puan H. Banyak yang pakcik onion ini tolong rancangkan untuk suami Puan H itu. Antaranya, dia mahu suami Puan H tolong belikan rumah kedai untuknya, suruh mereka upgrade kereta sekarang kepada Hyundai Starex, suruh mereka bawa orang itu orang ini buat umrah dan melancong ke luar negara padahal tuan punya badanpun tidak minta begitu begini. Semua rancangan ini dibuat oleh saudara kerabat suami Puan H tanpa bertanya dahulu kepada Puan H dan suaminya pun, sewaktu suami Puan H masih hidup, sihat walafiat (sekarangpun masih hidup dan sihat alhamdulillah). Kerana alasannya, sewaktu suami Puan H ini mengumpul lebih separuh daripada KWSPnya dahulu, Puan H belum berkahwin dengan suaminya lagi. Boleh bayangkan apa akan berlaku sekiranya suami Puan H tiba-tiba pulang ke alam abadi sewaktu anak-anak mereka masih kecil dan Puan H yang sememangnya tidak berkerja tidak ada simpanan sendiri?

Nasib yang menimpa Puan H ini membuatkan saya berasa sedikit khuatir. Bukan tidak percayakan suami sendiri, saya berkongsi bantal selimut dengannya, mengandung dan melahirkan anak-anaknya. Tapi saya rasa perlu mengambil sedikit langkah berjaga-jaga. Pada suami dan juga kaum kerabatnya. Kerana suami saya berketurunan manusia, bukan malaikat atau makhluk kayangan yang tiada nafsu pada harta donia. Hari ini mungkin masih kudus tulus mulus, esok lusa tidak pasti, mungkin sampai masa dia pergi, terputus rezeki saya dan anak-anak untuk meneruskan hidup dengan warisan hartanya kerana tewasnya yang hak kepada nafsu manusia.

Jadi setelah berfikir masak-masak, dengan izin suami saya kembali berkerja. Bukan kerana tidak cukup apa yang suami beri tapi kerana saya mahu ketenangan hati. To put my mind at ease.

Ini cara saya. Lain orang lain caranya. Tapi saya yakin pada akhirnya tiada lain yang diperlukan seorang isteri. Mereka hanya mahukan rasa yakin dan diyakini, dipercayai (that someone closest to her does believe in her dream and capability), rasa disokong walau apapun keputusan yang mereka ambil. Jika mereka ambil keputusan untuk berkerja, mereka mahu disokong. Jika mereka ambil keputusan untuk menjadi suri rumah juga mereka perlu perkara yang sama, sokongan. Juga rasa selamat, jaminan, sense of security, baik pada masa ini atau pada masa yang akan datang nanti.

Bagi saya secara peribadi, sense of security saya adalah apabila saya boleh ada simpanan sendiri sekiranya sesuatu terjadi. Bagi wanita lain mungkin caranya berbeza namun matlamatnya tetap sama - demi sebuah rasa keterjaminan, ketenteraman jiwa. Dan keperluan ini juga berkadaran dengan masa. Dahulu, mungkin seorang suri rumah tangga itu merasa cukup dengan KWSP suami sahaja, jika suami meninggal dunia penama adalah isterinya, namun hari ini, setelah banyak perkara tidak terjangkau akal telah berlaku dan tidak mustahil bakal berlaku (parti yang memerintah sejak merdeka pun boleh tumbang, rasa kebal pun boleh hilang - contoh), keperluan itu mungkin berubah seiring dengan waktu, bukan kerana hasutan atau ajaran sesiapa tapi kerana kehendak dalam dirinya setelah mendapat maklumat yang dia percaya. Jika 2% caruman KWSP dari suami ditambah RM50 dari kerajaan adalah apa yang isteri perlukan, para suami tolonglah pertimbangkan, jika mampu raikan.

Percayalah, isteri itu hanya mahu ketenangan. Some peace at mind. Bukan dia buta-buta ikut-ikutan. Bukan juga dia mahu menyusahkan. Sebab kalau suami susah, isterilah yang akan jadi teman menghadapi kesusahan. Barangkali diapun tidak perlu 2% itu, dia cuma mahu tengok kau ikhlas atau tidak hendak membantu, apakah engkau, suaminya sendiri, mengiktiraf pentingnya kerjaya dia sebagai isteri dan ibu.

Bukan duit sedebuk atas tangan hari ini atau sewaktu berusia 50, 55 tahun nanti yang dia hajati, cuma dia hendak tahu, apakah engkau, suaminya jenis tidak berkira atau spesies yang kedekut nak mati. After all it is the gesture that counts, the effort, doesnt matter by the end of the day it can finally happen or not, dia cuma hendak tahu kau ini jenis sanggup atau tidak beri lebih sedikit untuknya atau baru orang cakap hendak duit sikit sudah merungut.

Jadi para suami, gembirakanlah hati isteri mudah-mudahan bertambah-tambah rezeki.

No comments: