ENTRY-ENTRY BARU..JOM JENGUK

Tuesday, July 24, 2018

Di dalam pernikahan juga ada maksiat?

*Adakah Pernikahan Itu Hanya Sekadar Untuk Mengelakkan Zina?*

Benar, Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam memberitahu kita semua bahawa pernikahan itu adalah jalan keluar untuk menjauhkan diri daripada maksiat zina yang keji.

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ يَزِيدَ ، قَالَ : دَخَلْتُ مَعَ عَلْقَمَةَ والْأَسْوَدِ عَلَى عَبْدِ اللَّهِ ، فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ : كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَبَابًا لَا نَجِدُ شَيْئًا ، فَقَالَ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ ، مَنِ اسْتَطَاعَ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ ، فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ ، وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ
‘Abdullah bin Mas’ud radiallahu ‘anhu berkata: Kami bersama Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam ketika kami muda, dan kami tidak mempunyai apa-apa (harta), lalu baginda bersabda: Wahai anak muda, sesiapa yang daripada kalian berkemampuan untuk Al-Baah hendaklah dia berkahwin. Sesungguhnya ia lebih menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu, hendaklah dia berpuasa. Sesungguhnya puasa adalah perisai untuknya. [Sahih al-Bukhari, Kitab an-Nikah, hadis no: 4703]

Akan tetapi, adakah perkahwinan sekadar itu? Adakah perkahwinan sekadar untuk menghalalkan hubungan seksual?

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ (21)
Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa cinta dan belas kasihan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir. [Al-Rum: 21]

Ayat ini menunjukkan bagaimana perkahwinan itu terbentuk dengan dua elemen penting iaitu:
- Cinta, kasih sayang
- Belas kasihan

Sungguh indah huraian Imam Fakhrurrazi. Beliau menyebutkan dalam Mafatih al-Ghaib:

فالمودة تكون أولا ثم إنها تفضي إلى الرحمة ،
Cinta (mawaddah) itu akan mengambil tempat dahulu, kemudian ia akan menghasilkan sifat belas kasihan (rahmah).

ولهذا فإن الزوجة قد تخرج عن محل الشهوة بكبر أو مرض
Oleh kerana itu, apabila seseorang isteri itu telah keluar daripada keadaan yang mengghairahkan disebabkan sudah menjadi tua atau kerana dia sakit,

ويبقى قيام الزوج بها وبالعكس
si suami tetap bersama dengannya, dan begitu jugalah sebaliknya.

Bagaimanakah sebuah perkahwinan yang hanya terbina atas dasar nafsu seksual sahaja dan tanpa cinta dan belas kasihan?

Selain itu, perkahwinan itu juga bukan sekadar hadir dalam bentuk menghalalkan hubungan yang sebelum ini haram. Bahkan ia hadir dengan kewajipan yang perlu dipikul oleh suami dan isteri.

Amatlah malang apabila kita melihat perkahwinan itu sekadar tempat melepaskan hawa nafsu, dan menutup mata kepada aspek-aspek lain.

Adakah kita melihat penzinaan itu sahaja sebagai maksiat, dan menutup mata kepada isu-isu lain dalam perkahwinan seperti kewajipan seorang suami dan isteri yang mana kewajipan-kewajipan ini apabila diabaikan maka ia jua satu maksiat kepada Allah.

Adakah kita tidak melihat isu-isu kezaliman dan penderaan dalam rumah tangga sebagai isu yang besar sebagaimana kita melihat besarnya zina?

#MMMR

No comments: