ENTRY-ENTRY BARU..JOM JENGUK

Wednesday, January 16, 2019

Selepas kawin itu penting

Kita sendiri sedaya upaya menjadi orang yang baik, insya-Allah kita akan dikurniakan orang yang baik sebagai pasangan hidup kita. Ini janji Allah. 

     “Wanita-wanita yang tidak baik untuk laki-laki yang tidak baik, dan laki-laki yang tidak baik adalah untuk wanita yang tidak baik pula. Wanita yang .baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik. (An Nur:26)”

Justeru, Menjadi orang baik perlu diutamakan berbanding ‘mencari’ orang yang baik. Ia lebih mudah kerana menjadi orang baik bermula dengan diri sendiri.

Perlu diingat, janji mendapat pasangan yang baik bagi orang yang baik, bukan hanya berlaku pada awal perkahwinan. Mungkin pada awalnya pasangan orang yang baik itu belum begitu baik, namun berkat didikan, pergaulan, dan doanya, maka pasangannya itu berubah menjadi baik selepas mereka berkahwin.

Jadi jangan putus asa sekiranya pada awal perkahwinan, kita lihat pasangan kita belum benar-benar baik seperti yang kita harapkan. Sebaliknya, teruskan usaha untuk menjadi orang yang baik sambil mendidik dan mendoakan pasangan kita itu.

Ingat, setelah berkahwin dengan kita, pasangan kita itu ialah cerminan akhlak dan keperibadian kita. Siapa mereka sebelum berkahwin dengan kita itu kurang penting berbanding siapa mereka setelah berkahwin dengan kita.

       Justeru, tidak kira siapa dia sebelum berkahwin dengan kita, tetapi sebagai suami ataupun isteri, kita perlu komited untuk mengubah diri kita sendiri terlebih dahulu seiring usaha mengubah diri pasangan kita.

Jika kita tidak dapat apa yang kita suka, kita perlu suka dengan apa yang kita dapat. Caranya adalah dengan mengubah diri kita terlebih dahulu, dan insya-Allah perubahan itu akan mengubah pasangan kita ke arah yang sama.

(PETIKAN BUKU YANG AKAN TERBIT...BAWA CINTA MU KE SYURGA!)

InsyaAllah.

No comments: