ENTRY-ENTRY BARU..JOM JENGUK

Friday, May 19, 2017

Kebumikan aku bersama tongkat itu

"KEBUMIKAN AKU DENGAN TONGKAT ITU!"
 
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
 
Segar lagi dalam ingatan pada tahun 1995, Dato’ Wan Muhammad bin Syeikh Abdul Aziz, (mantan Ketua Pengarah JAKIM) mengajar kelas kami. Pada masa itu beliau adalah Pengarah Institut Pengajian Tahfiz al-Quran iaitu nama lama Darul Quran, JAKIM. Beliau menceritakan kisahnya bertemu dengan Pak Rashid seorang lelaki dari Padang, Sumatera di sebuah restoran milik lelaki itu. Dengan terharu, lelaki itu menceritakan kenangan manis paling berharga buat dirinya adalah diziarahi oleh ulama tersohor Nusantara yang turut berasal dari Sumatera iaitu Prof Dr. HAMKA. Dalam pertemuan itu, HAMKA menasihatinya dengan kalam hikmah yang sangat tinggi nilainya:
“Jangan hanya leka mencari rezeki tetapi lupa Yang Maha Memberi rezeki.”
Ternyata nasihat Buya HAMKA  itu sangat seiring dengan firman Allah ini:
رِجَالٌ لَا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالْأَبْصَارُ
Ertinya: (Ibadat itu dikerjakan oleh) lelaki (beriman) yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan (al-Nur [24:37]).
 
 
Buya HAMKA juga menghadiahkan Pak Rashid novelnya yang terkenal “TENGGELAMNYA KAPAL VAN DERVIJCK.” Ternyata hadiah HAMKA itu sangat dihargai Pak Rashid dan ia masih elok disimpan walaupun peristiwa itu sudah lama berlalu. Dato’ Wan Muhammad kemudiannya meminjam novel itu dan langsung menghabiskannya pada malam itu menjelang subuh. Tertarik dengan kenangan itu, saya juga turut mencari novel HAMKA itu dan merasai peritnya jiwa seorang lelaki bernama Zainuddin yang digambarkan oleh Buya HAMKA dalam karyanya itu.
 
Subhanallah! Itu baru sebuah pertemuan dan pemberian berharga antara HAMKA dan Pak Rashid, bagaimana agaknya jika hadiah kenangan itu datangnya dari manusia paling mulia di alam semesta ini iaitu Rasulullah SAW?
 
Bertitik dari kisah guru saya itu, saya ingin berkongsi kisah menarik seorang sahabat Rasulullah SAW yang mahukan “tongkat pemberian Rasulullah dikebumikan bersamanya.” “DIA ADALAH ABDULLAH BIN UNAYS RA.”
 
Kisahnya, selepas perang Uhud Rasulullah SAW melalui tempoh yang sukar. Musuh Islam melihat kekuatan umat Islam semakin merosot berikutan kekalahan dalam perang Uhud. Sampai berita kepada Rasulullah bahawa Khalid bin Sufyan al-Hudhali (ketua kabilah Hudhayl yang sangat berpengaruh) berhasrat mengumpulkan kekuatan tentera untuk memerangi Madinah. Baginda lalu menghantar Abdullah bin Unays RA untuk membunuh Khalid di Uranah (sebuah tempat berhampiran Arafah). Oleh kerana Abdullah tidak mengenali Khalid, baginda SAW memberi petanda kepada Abdullah:
إِذَا رَأَيْتَهُ وَجَدْتَ لَهُ أُقْشَعْرِيَرَةً
Ertinya: (Cara mengenal Khalid adalah) apabila kamu melihatnya, bulu roma-mu akan berdiri tegak (kerana kehebatan fizikal dan karisma Khalid) (Musnad Ahmad).
Ketika melihat Khalid di Uranah, Abdullah benar-benar merasai seperti apa yang disifatkan baginda. Pertemuan antara Abdullah dan Khalid berlaku pada penghujung waktu Asar. Abdullah risau pergelutannya dengan Khalid akan menghabiskan waktu Asar sebelum sempat dia solat. Berikutan itu, Abdullah mendirikan solat dengan isyarat kepalanya (bagi pergerakan sujud dan ruku’). Cara solat ini memang disebut dalam al-Quran:
فَإِنْ خِفْتُمْ فَرِجَالًا أَوْ رُكْبَانًا فَإِذَا أَمِنْتُمْ فَاذْكُرُوا اللَّهَ كَمَا عَلَّمَكُمْ مَا لَمْ تَكُونُوا تَعْلَمُونَ
Ertinya: Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan, kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna), sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya (al-Baqarah [2:239]).
 
Ketika berada hampir dengan Khalid, Abdullah berpura-pura mahu mengikut Khalid dalam rancangannya mengumpulkan kekuatan tentera bagi menyerang Rasulullah SAW. Khalid mulai percaya cakap Abdullah dan ketika Khalid leka, Abdullah berjaya membunuhnya (Musnad Ahmad).
Kejayaan Abdullah dipuji oleh Rasulullah SAW dan baginda menghadiahkan sebatang tongkat kepadanya. Abdullah bertanya apa hikmah di sebalik hadiah tongkat itu. Baginda pun bersabda:
يَا رَسُولَ اللَّهِ لِمَ أَعْطَيْتَنِي هَذِهِ الْعَصَا قَالَ آيَةٌ بَيْنِي وَبَيْنَكَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Ertinya: Abdullah bin Unays bertanya: “Wahai Rasulullah, mengapa Tuan memberiku tongkat ini?” Rasulullah menjawab: “Ia menjadi tanda antara kita berdua pada hari kiamat kelak,” (Musnad Ahmad).
 
Selepas peristiwa itu, Abdullah “tidak pernah berpisah daripada tongkat itu.” Beliau meletakkan tongkat itu bersama pedangnya. Gelagat ini tidak lain membuktikan cinta luar biasa Abdullah terhadap Rasulullah SAW. Pada hari kematiannya, tongkat itu turut dikafankan bersamanya. Subhanallah! Sungguh dalam cinta Abdullah kepada Rasulullah SAW. Dia mahu apabila bangkit di Mahsyar kelak, tongkat itu menjadi penghubung erat antaranya dan Rasulullah SAW.
 
Aduhai! Kita semua sudah jauh daripada zaman baginda SAW. Kita juga tidak bernasib baik mendapat hadiah kenangan dari baginda dalam bentuk tongkat, pedang, selipar atau jubah. Pun begitu, kita masih memiliki warisan lain daripada baginda iaitu al-Quran dan al-Sunnah sebagai tanda kenangan. Percayalah! Kita jika teguh menghayati keduanya, hidup kita akan sentiasa dibimbing oleh Allah. Andaikan sahaja keduanya itu sebagai “TONGKAT KENANGAN” daripada Rasulullah SAW untuk kita. Hayatilah firman Allah ini:
قُلْ أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّمَا عَلَيْهِ مَا حُمِّلَ وَعَلَيْكُمْ مَا حُمِّلْتُمْ وَإِنْ تُطِيعُوهُ تَهْتَدُوا وَمَا عَلَى الرَّسُولِ إِلَّا الْبَلَاغُ الْمُبِينُ
Ertinya: Katakanlah lagi (kepada mereka): " Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasulullah. Kemudian jika kamu berpaling ingkar maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Rasulullah hanya bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan kepadanya, dan kamu pula bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan kepada kamu. “DAN JIKA KAMU TAAT KEPADANYA NESCAYA KAMU BEROLEH HIDAYAH PETUNJUK;” dan (sebenarnya) Rasul Allah hanyalah bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah dengan penjelasan yang terang nyata" (al-Nur [24:54]).
 
Ayuh kita sama berdoa agar bersama dengan baginda di akhirat kelak:
اللهم إنا نسألك مرافقة نبينا صلى الله عليه وسلم في أعلى جنة الخلد
Ertinya: “Ya Allah! Kami mohon pada-Mu kebersamaan dengan nabi kami SAW dalam syurga yang tertinggi lagi kekal.”
 
 
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

No comments: