ENTRY-ENTRY BARU..JOM JENGUK

Friday, April 6, 2018

Hidayah milik ALLAH

"Lan.. Malam tadi pertama kali aku jejak surau. Selama 9 tahun aku duduk kat sini, tu first time. Padahal surau tu 100 meter je dari rumah aku."

Entah macam mana hari tu Bob mulakan cerita. Rendah sahaja suaranya.

Terasa seperti Allah nak bagi saya SESUATU hari ni. Saya letak fon atas meja. Kali ni saya betul-betul menghadap dia. Dua telinga siap dipasang.
.
.
"Masa masuk surau tu, mula-mula sekali aku nampak tempat orang mandikan jenazah. Aku fikir kalau sekarang aku tak jejak lantai surau ni, mungkin kat tempat jenazah ni yang aku akan sampai dulu."

Malam tu juga pertama kali Bob baca Yasin kat surau. Merangkak-rangkak katanya. Suara ibarat tersekat di kerongkong. Nasib baik imam baca kuat. Boleh turut bacaan. Habis Yasin sambung tahlil dan Isyak pulak.

"Dua jam aku kat surau tu Lan, aku rasa sangat seronok. Ibarat masuk dalam alam lain. Segala hal dunia, masalah duit, masalah keluarga, semua tu aku tinggal."

Sambil bercerita tu, saya perhatikan muka dia. Allah, rupanya inilah keadaan orang yang dapat hidayah Tuhan. Sinar di hati, terserlah di wajah.

"Bayangkan kalau aku pergi masjid kat Mekah Lan. Mesti lagi seronok kan?"

Bila nampak dia dah tak kekok bercerita, saya bertanya. "Apa yang buat kau tergerak hati nak pergi surau Bob?"

Rupa-rupanya seminggu dua ni, asal on the way balik kerja je dia nampak eksiden. Macam-macam. Kereta berlanggar la. Motor tak perasan lori berhenti tepi jalan. Terlentang dengan darah berjejer. Semua tu jadi depan mata.

Terbit dalam hati, "Kalau aku yang eksiden tu, sempat ke aku mengucap? Boleh ke aku mengucap?"

Ada pulak sekali tu ada kawan dia ajak solat Jumaat. Selamba je dia jawab aku malas. Nak tidur. Takdir Allah, lepas je cakap tu, isteri dia telefon, "Bang, anak kita jatuh. Dagu koyak."

Allah. Datang lagi dalam hati dia, Allah bayar cash kat anak aku asbab aku ingkar solat jumaat.

Sebelum ni dia culas soal solat. Jujur dia bagitahu, sampai tahap dah tak rasa apa pun tinggal solat.

Tak ada rasa takut.
Tak ada rasa gerun.

Padahal setiap hari bila tengok kawan-kawan lain buat kerja, sibuk macam mana pun, masuk waktu, diorang akan pergi solat. Tinggalkan urusan kerja.

Masa tu lah dia mula teringat. Ada kawan-kawan yang sama jawatan, gaji lebih kurang, tapi sebab jaga solat, Allah mudahkan urusan kerja. Rezeki pun tak tersangkut. Hidup bahagia je.

Teringat ada juga kawan-kawan yang jenis tak solat, tapi berjaya. "Istidraj" saya betulkan sebutan Bob. Dia tak nak kena ujian istidraj tu.

Bila dia renung balik, umur dah nak masuk 40. Dia sedar mungkin ini takdir hidupnya. Nak gaji besar rumah besar mungkin dah tak dapat. Dia redha. Tapi kalau dunia pun dah tak seberapa, akhirat pun terabai, tambah rugi la hidup dia.

Atas sebab hidayah Allah, dia nekad nak jaga solat. Tak peduli lagi apa orang nak cakap. Apa orang nak perli. Dia tak kisah dah cakap orang semua tu.
.
.
Bila cermin diri sendiri, saya sedar diri ini pun tak memberati solat. Masih ada lompong sana sini. Waktu solat tak terjaga. Rukun dan tertib berterabur. Khusyuk dan hati tak pernah bertemu.

Alasan biasa kita sibuk dengan kerja. Pernah kita fikir, sepenjang hidup berapa tahun kita nak kejar dunia? Paling lama kita boleh hidup 70 - 80 tahun. Tu dah kira bonus tu. Kalau mula kerja umur 20, 60 dah nak pencen. Maknanya 40 tahun kita abaikan solat? Berbaloi ke dengan nak hadap akhirat yang kekal abadi tu?

Hakikatnya inilah kita yang sebenar.

Manusia lemah yang sering kejar dunia hingga lupa kepada Pencipta dunia itu sendiri. Kita lupa tujuan asal kita diciptakan. Kita lupa mana yang utama, mana yang sia-sia.

Jangan tunggu diri hilang upaya baru nak tersedar. Jangan tunggu ditarik nikmat baru nak kenal Tuhan. Jangan jadi apa-apa kepada anak isteri baru tahu arah kiblat.

Baiknya Allah ni, sejahat-jahat manusia atas muka bumi ni pun boleh berubah jadi sebaik-baik manusia dengan asbab hidayah-Nya itu.

Asalkan kita sentiasa buka mata. Buka hati untuk perhatikan petunjuk dari Tuhan. Insyaallah hidayah akan masuk ke jiwa kita. Teruskan berdoa kepada Tuhan minta dibukakan hati kita semua.

Andai ada keluarga atau kenalan kita yang lalai solat, teruskan menegur dengan baik. Teruskan berdoa untuk mereka.

Insyaallah,

Doa yang baik dari pasangan,
Doa yang baik dari adik beradik,
Doa yang baik dari ibu ayah,
Doa yang baik dari jiran tetanga,
Doa yang baik dari kawan sejati,

Pasti akan dimakbulkan Allah.
.
.
Ya saya kini mengerti.

Inilah SESUATU yang Allah nak bagi.

HIDAYAH buat saya. Dihantar melalui kawan yang telah rasai sendiri lazatnya hidayah itu.
.
.
Terima kasih Allah,
Azlan Noor
Kongsi inspirasi

No comments: