ENTRY-ENTRY BARU..JOM JENGUK

Wednesday, July 25, 2018

Mak ayah pula

"Sorry, sorry, saya salah tempat duduk." Bingkas dia bangkit dan meminta laluan untuk keluar dari tepi tingkap.

Nombor tertera di tiketnya memang di tepi tingkap, tetapi sepatutnya dia duduk di barisan kami.

"Tuan nak masuk sampai ke tingkap? Atau perlu saya berpindah ke tengah dan tuan ambil tempat saya." Tempat sebenar dia di tepi tingkap sedang diduduki seorang amoi yang juga sudah berdiri untuk keluar memberi laluan.

"Eh, takpa! Duduk sini lagi senang. Stay ja." Dia melarang amoi dari keluar dan terus  mengambil tempat saya di bahagian lorong.

"Setiap minggu, 3 kali ulang alik naik kapal terbang, pun boleh salah tempat lagi. Aduh! Sebab pagi tadi saya naik 'seat' 10A. Tu dok bayang balik pun sama. Rupanya, '9A'."

Hati terdetik kagum. 3 kali seminggu? Dia ni buat apa?

"Ada buat bisnes sikit-sikit. Itu dok ulang alik setiap minggu. Rumah saya di Sungai Petani. Di KL ada juga, kawasan Bandar Kinrara."

Fuh, ajaib betul. Hati baru berbisik, dah terus dijawab. Mesti muka saya langsung tak mampu nak cover kekaguman awal tadi.

Hati nakal bergelut lagi. Bisnes apa dia ni sampai kerap turun naik dari Penang ke KL? Lain macam bunyinya. Tak percaya betul perkataan 'sikit-sikit' tu.

Belum sempat ditemu bual lebih panjang,  kru kabin sudah bersedia untuk memulakan demo keselamatan. Saya berhenti untuk beri laluan dan mendapati dia sudah tertidur. Letih sangat agaknya.

***

Masing-masing melepaskan tali pinggang keselamatan sejurus kapal terbang selamat mencecahkan tayar di atas landasan.

"Tuan buat bisnes apa?" Terluncur pertanyaan yang tersimpan sejam sebelum itu.

"Stesen minyak."

"Oh! Petronas ke?"

"Shell. Ada dua tempat. Satu di Bukit Jalil, satu lagi di Sunway."

"Ooo..." Semakin panjang saya melopong.

Betapa awal tadi saya acah-acah percaya dia seorang ahli perniagaan, tapi sekarang saya benar-benar angguk dengan ikhlas.

"Saya duduk di Sungai Petani, sebab dekat dengan mak. Rumah di KL, anak-anak duduk, sebab ada yang belajar di universiti. Senang ulang alik. Tak perlu sewa rumah atau masuk hotel."

Saya mengangguk lagi. Patut mudah berulang alik.

"Maaflah tidur sungguh-sungguh. Sampai 'landing' pun tak perasan. Pagi tadi bangun pukul 3 nak naik 'flight' dari Penang. Petang ni balik semula."

"Eh, sekejap saja?"

"Itulah. Biasanya, saya akan pergi hari Selasa macam hari ni dan balik keesokannya, hari Rabu. Tapi, malam ni dah janji nak bawa mak makan malam. Itu yang balik juga hari sama. Dah janji dengan orang tua, tak elok pula nak batal-batal."

Masya Allah. Dia balik hanya sebab nak bawa mak makan malam!

Rasa terpukul pula tiba-tiba.

Tercongak-congak bila kali terakhir saya bawa mak abah sendiri makan malam.

Nak kira sibuk. Sibuk lagi pemunya stesen minyak ini. Dua buah pula tu. Ulang alik lagi. Masih sempat berjanji untuk makan malam.

Allah.

***

Entah kenapa, tak lena tidur memikirkan kata-kata tuan pemunya stesen minyak. Seperti Tuhan kirimkan dia untuk 'menjentik' hati saya supaya bangun dan lekas sedar.

Baru dua, tiga hari sudah, adik di Sungkai kirimkan mesej. Dicadangkan kami adik beradik kerapkan balik ke kampung. Katanya, sejak kebelakangan ini, mak dan abah mula cepat rindu pada anak cucu. Kesan duduk berdua mula membuatkan mereka direnggut kesunyian.

Sehari sebelum cadangan itu sampai, abah kirimkan video ceramah Ustaz Shamsuri dalam whatsapp group keluarga.

Memang setiap bait kata ustaz seperti mencarik-carik ulu hati.

"Mak ayah, semasa mereka masih mampu urus diri sendiri. Mampu bawa kereta ke sana ke mari. Boleh datang melawat kita. Kita masih belum diuji. Kita belum boleh 'claim' kita anak yang baik.

Tunggu apabila mereka dah mula sakit. Sudah tak boleh bergerak. Tak boleh urus diri sendiri. Ketika itu kita perlu mujahadah. Perlu berjihad. Masa tu, baru kita tau, kita anak yang sayang ibu bapa atau tidak."

Hish, laju pula airmata menonton semula video itu.

Semalam sebelum ke Penang, sempat bisik pada wife, "Abang cadang nak ziarah mak abah, bila-bila hujung minggu, kita set masa free. Kalau budak-budak ni penuh kelas tambahan, abang ziarah seorang pun takpe. Harap, takde mak abah terasa 'hilang' kita."

Isteri tiada masalah. Selama ini pun, kekangannya memang anak-anak. Tetapi alasan, memang ada saja.

Allah mahu menegur, memang macam-macam caranya.

Walaupun, Tuan stesen minyak sudah 'cemuih' naik kapal terbang, tetapi tetap tersalah duduk. Salah tu hanya untuk buka peluang bercakap dengan saya dan menyampaikan mesej dari-Nya.

Dia ada 2 stesen minyak, masih mampu bawa mak makan malam. Kau?

Saya terima mesej-Nya.

Kekayaan tidak akan mampu membeli masa yang terlepas. Ribuan masa juga tidak akan menjanjikan kekayaan.
Tetapi menyantuni ibu bapa, boleh  memberikan kedua-duanya. Kekayaan dan masa.

-Ammar Kamilin-
Dulu, mak luangkan masa, dengar saya baca sifir.

No comments: