ENTRY-ENTRY BARU..JOM JENGUK

Sunday, September 2, 2018

Bersediakah jika isteri pergi dulu? Part 2

Sambungan - Part 2

Bersedia?

Sudah tentu tidak, kerana kebiasaanya yang tua akan pergi terlebih dahulu. Itulah aturannya. Jadi kita leka, kita tidak menduga.

Pada usia 39 tahun, isteri saya dijemput pulang ke negeri abadi.

Sesungguhnya kami sekeluarga tidak bersedia. Hari saya hantar beliau ke hospital, saya anggap paling lama pun dia akan bermalam sehari dua di hospital dan akan dibenarkan pulang.

Ye lah, sakit perut dan muntah sahaja pun.

Namun dalam masa 2 hari sejak hari pertama beliau jatuh sakit, dan 3 hari selepas dimasukkan ke hospital dia pergi meninggalkan saya dengan 3 anak yang masih kecil.

Benar, kematian itu adalah sesuatu yang tidak tertangguh.

Beliau meninggal dunia akibat jangkitan kuman yang menyebabkan kegagalan pelbagai organ dalaman. Di dalam bahasa hospitalnya "severe sepsis with multi-organ failure".

Punca jangkitan? Saya dan para doktor masih tidak dapat jawapannya.

Mulanya, sangat sukar untuk percaya kata-kata doktor yang isteri saya sedang tenat dan sangat kritikal. Sukar untuk hadapi doktor demi doktor dari pelbagai team yang mengungkapkan keputusan yang sama.

Luluh bila para doktor berkata yang mereka telah lakukan yang terbaik namun harapannya adalah tipis. Jiwa jadi kosong, hilang dan terbang bersama suara doktor yang membawa perkhabaran sebegitu.

Wajah anak-anak kecil datang bersilih ganti. Bagaimanakah hidup kamu nanti tanpa seorang ibu. Bisakah ayah ini menjadi keduanya untuk kamu semua.

...........................

Usai selesai urusan di bilik mayat, jenazah dibawa ke Masjid Besi, Putrajaya untuk disembahyangkan.

Baby Khaleed yang kebetulan ada berhampiran van jenazah mendepa-depakan tangan kegembiraan ke arah van seolah melihat ibunya datang untuk mendukungnya.

Habis hiba mereka yang melihatnya.

Usai solat Asar, imam masjid menawarkan agar saya mengimamkan solat jenazah.

Tuan sendiri imamkan arwah isteri yer? pinta imam.

Jangan ustaz balas saya, walapun teringin namun saya pasti tidak mampu untuk melakukannya.

Ustaz imamkanlah pinta saya.

Baiklah, namun tuan harus bercakap sedikit nanti kepada para jemaah usai solat nanti yer, pinta imam. Baik, jawab saya.

Selesai solat saya berterima kasih kepada semua jemaah dan memohon agar dimaafkan isteri saya anda ada kesalahan dan dihalalkan segala makan minumnya dan jika ada hutang tuntutlah dengan saya.

Seterusnya jenazah di bawa ke kuburan.

Peluang terakhir ini saya ambil untuk turunkan sendiri isteri ke rumah terakhirnya . Anak-anak ada memerhati kelibat ibu mereka buat kali terakhir.

Alhamdulillah, semuanya selesai dengan baik dan cepat.

Allah telah mempermudahkan segala urusan isteri saya yang sememangnya ketika hidup beliau sangat suka membantu dan mempermudahkan urusan orang lain.

Semoga segala amalan baik beliau ketika hidup diterima Allah SWT.

Ameen Ya Rabb.

.............................

Semoga para pembaca dapat mengambil ikhtibar dari kisah saya.

Sentiasalah bersedia kerana hidup ini singkat.

Belajarlah mengurus rumah tangga bagi suami yang tidak pernah mencuba membantu isteri di rumah. Belajarlah vakum dan mop lantai, cuci pinggan mangkuk, sidai baju dan sebagainya.

Belajarlah juga menguruskan anak, menukar lampin, buat susu dan medodoikan mereka sekiranya selama ini hanya isteri yang melakukannya.

Belajarlah memasak serba sedikit agar perut-perut yang kosong dapat diisi bila pasangan tiada di sisi.

Belajarlah menjadi kuat kerana peluang yang ada untuk menguruskan pasangan yang meninggal perlu digunakan sebaiknya.

Belajarlah dan biasakanlah diri dengan jenazah. Mandikanlah jenazah jika ada peluang kerana mungkin pengalaman itu dapat digunakan ke atas pasangan kita nanti.

Belajarlah jadi cekal kerana ketika itu anda perlu membuat banyak keputusan. Banyak soalan perlu dijawab, nak diuruskan di mana? nak dikebumi di mana?nak dibawa balik ke mana? nak mandi dan kafankan di hospita atau di rumah dan pelbagai persoalan yang harus dijawab.

Belajar juga menjadi imam solat jenazah, mungkin itulah solat terakhir yang kita bersamanya.

Sesungguhnya mati itu adalah pasti.

.

#diariseorangsuperdaddy

2 comments:

Ann Ishak said...

Allah hu, besarnya dugaan

Anonymous said...

It's going to be end of mine day, however before end I am
reading this wonderful piece of writing to improve my experience.