ENTRY-ENTRY BARU..JOM JENGUK

Wednesday, January 30, 2019

Pengakhiran lebih penting dan henti sebar aib org

"Saya ini imam. Kalau nak cerita pasal malu, memang malu. Kalau nak cerita pasal mati, memang nak mati aje. Cakaplah nak buat apa pun, asal boleh tutup muka ini dari dikata orang.

Tetapi saya ingat Tuhan. Ini kerja Dia. Kenapa anak saya yang buat onar? Bukan anak orang lain? Jangan tanya dah. Cukuplah kita istighfar, ingat balik dosa-dosa kita.

Tengok kekuatan kita. Rasa macam tak kuat. Bila kita bangun malam, kita membaca al-Quran, kita duduk lama atas sejadah, dapat rasa lain badan ini.

Rasa yakin.

Rasa mahu teruskan hidup.

Rasa mahu perbaiki segala-gala.

Inilah yang dikata Tuhan itu maha penyayang.

Seingat saya, semasa mula-mula anak saya balik malam itu, muka dia resah. Saya tanya, dia jawab dia baik-baik sahaja.

Kira-kira jam 12 malam lebih, ada orang bagi salam. Saya kenal suara tu. Suara kawan saya. Sama-sama berjemaah di masjid.

Bagi ucapan salam dalam nada yang tegas. Saya bangun dan jawab salam. Kemudian buka pintu.

Di luar rumah, ada 6 ke 7 orang. Isteri dia ada, anak-anak dan seorang adik dia pun ada. Anak perempuan dia nangis-nangis.

Saya pelik. Sakit ke apa ni? Kalau sakit pergi hospitallah. Kenapa ke rumah saya?

Kawan saya pun cakap "Haji, anak awak dah 'tebuk' anak saya. Sekarang dia mengandung! Mana dia?!"

Bulat mata saya. Laju degup jantung saya.

Astaghfirullah. Ya Tuhan. Apa semua ini?

Saya pegang tombol pintu kuat-kuat. Rasa nak jatuh bila dengar ayat dia. Rasa nak pejam mata semua ada.

Isteri saya keluar dari bilik. Terjerit-jerit tanya "Kenapa bang?! Kenapa bang?!

Saya kata perlahan "Abang Ngah, dia dah berzina dengan anak orang... "

Isteri saya terus jatuh melutut atas lantai. Tangan kanannya menahan dari jatuh terbaring. Tangan kiri memegang dadanya.

Allahu akbar. Beratnya berita kami terima di tengah-tengah malam. Depan kami pula, adalah rakan-rakan baik keluarga kami. Sama-sama bergelak ketawa, sama-sama berkongsi segala kisah suka dan duka.

Minum air kopi dari teko yang sama, gelas ada masa berkongsi di majlis kenduri. Tak pernah rasa geli, tak pernah rasa jijik.

Malam itu, segalanya jauh berbeza. Kata-kata nista mula berani keluar dari mulut yang manis selama ini.

Licin kulitnya bila bersalam dahulu, malam itu bila dihulurkan tangan, seperti penuh kudis busuk di tangan kita. Ditepis tidak mahu menyentuh.

Rupanya dah riuh sekampung. Kami yang tak tahu. Orang dah mengata yang anak tok imam berzina dengan anak si polan. Berita memang cepat tersebar.

Esoknya, semasa tiba di masjid untuk bersolat subuh, ada 2 ke 3 orang yang berani menanya khabar tersebut.

Saya tundukkan kepala, sambil mengiyakan segala soalan yang ditujah.

Ya Tuhan. Beratnya masa itu mahu mengangkat muka. Malu yang amat sangat.

Tetapi kawan-kawan semua datang memeluk saya bergilir, meminta saya bersabar, redha dengan ujian Allah.

Ketika tok bilal melaungkan azan subuh, dari belakang bahu saya dicuit. Saya palingkan muka, dan orang yang mencuit itu adalah orang yang sama menjerit-jerit di rumah saya, orang yang sama menghambur kata keji, orang yang sama tidak mahu bersalam lagi dengan saya.

Dengan nada sebak, dia berkata "Maafkan saya haji. Saya salah sangat malam tadi. Tak sedar apa yang saya kata. Itu anak yang paling saya sayang. Dia pun ada salahnya. Maafkan saya".

Saya memeluknya erat. Lain-lain jemaah datang menghampiri kami berdua. Menepuk-nepuk bahu kami, meminta kami terus bersabar.

Selesai solat subuh, ada seorang jemaah ajak kami yang hadir pagi itu di masjid untuk duduk sekejap. Katanya "Mari kita bantu tok imam kita dan si polan selesaikan masalah mereka".

Terharunya.

Kami bincang bagai-bagai. Tak ada yang tinggi suara, tak ada yang menghina, tak ada yang mengeji sesama.

Cuma kami sepakat, perbuatan zina adalah perbuatan keji, mendatangkan dosa besar, dimurkai Allah, mematikan rasa malu pada diri seseorang dan sudah pasti, layak dihukum dengan hukuman hudud.

Siangnya, memang riuhlah. Macam saya kata tadi.

Kami ke pejabat agama. Bawa anak masing-masing. Selesai uruskan segala, selang beberapa hari mereka dikahwinkan.

Tiada jawapan tidak setuju. Mesti kahwin. Dan, dah kahwin pun.

Aib yang sudah tersebar, tidak tertahan lagi. Kita katalah dia orang ni dah kahwin, mana orang peduli.

Itu sikap orang kita. 50 tahun punya cerita pun tetap akan dicanang. Pakailah songkok tinggi setara mana pun, ketayap putih melepak, asal lidah suka dengan membuka aib orang, diteruskan.

Hari ini, anak saya yang suatu ketika dahulu pernah buat satu dosa besar, dialah paling banyak berjasa untuk keluarga.

Isteri dia baik sangat. Rajin, ringan tulang. Adik-beradik dia orang dalam kesusahan, inilah orang pertama yang akan hulur bantuan.

Anak-anak dia ini semua bagus-bagus. Ikut mak dan ayahnya ke masjid selalu. Periuh masjid pun anak-anak dialah antaranya. Hehe.

Perubahan besar berlaku dalam kehidupan mereka. Daripada buruk, kepada cantik. Ya Tuhan.

Dia orang memang ambil betul kesempatan untuk berubah kepada kebaikan. Mereka insaf sungguh-sungguh.

Macam-macam kejian dia orang terima, alhamdulillah semua dapat diatasi.

Tengok-tengok , kita yang duk mengeji dia ini pula yang malunya. Kenalah atas batang hidung kita. Solat tidak, ke masjid tidak, sibuk buat maksiat.

Tak nampak aib yang ada pada diri sendiri. Silap-silap lebih dahsyat.

Hari ini Allah uji dia lagi. Kemalangan pagi tadi. Doktor kata tulang rusuk dia patah. Tapi tak ada apa yang perlu dibimbangkan.

Awak tengok sana tu. Semua tu kaum keluarga kami. Keluarga belah saya dan besan. Semua turun. Semua dah ada. Semua duk risaukan dia.

Semua sayang sangat pada dia.

Saya pesan selalu pada anak-anak dan cucu-cucu, tak perlu cerita apa aib orang. Tak perlu nak riuhkan apa kesalahan orang. Bila tahu, diam dan simpan.

Paling penting, bila ada antara kita pernah buat silap, bimbing dan sama-samalah sokong untuk bawa dia berubah kepada yang lebih baik.

Benda yang dah jadi, itu pengalaman dan pengajaran. Jadikan sebagai peringatan di masa depan.

Siapa-siapa pun boleh diuji Tuhan. Kena pegang dan ingat selalu yang itu.

Saya selalu berdoa, tanpa henti, moga-moga kebaikan yang dibuat anak saya selepas peristiwa hitam itu, diterima segalanya oleh Allah, dan diampunkan segala kesalahan dosa besarnya (sebak) ".

Sepatah pun saya tidak mencelah apabila mendengar cerita pakcik yang sama-sama berkongsi kerusi batu di luar jabatan kecemasan hospital.

Dari hal ujian Allah, hal dosa besar, hal sebarkan aib, hal hidup bermasyarakat, hal bantu membantu, hal menambah amal kebaikan dalam diri dan sudah pasti, hal berkasih sayang sesama.

Semoga apa yang pakcik sampaikan, membawa pengajaran dan peringatan buat saya dan kalian yang membacanya.

WS Adli W Muhammad,
Semakin banyak cerita yang didengar, semakin rasa diri ini banyak dosa. Inilah peringatan.

No comments: