ENTRY-ENTRY BARU..JOM JENGUK

Wednesday, February 19, 2020

kematian tak kira usia

SORANG LAGI DIJEMPUT PULANG

Tuan-tuan, Asyraf Sinclair dijemput ilahi pagi tadi. Dia tinggalkan semuanya. Isteri yang cantik, rumah yang besar, anak yang comel, harta-harta yang dia usahakan sepanjang hidupnya. Semuanya dia tinggalkan macam tu je. Tanpa sikit pun daya semua yang dia tinggalkan ni untuk selamatkan dia daripada kematian. Tahu-tahu dah kaku.

Itulah ajal, tuan-tuan. Terkejut kita semua dengar berita ni. Baru beberapa hari lepas, kita dikejutkan dengan kesedihan pemergian Abam Bocey.

Kematian datang tanpa di duga. Sekali lalu je, di rentapnya nyawa dari badan. Hilang segala nikmat dibumi. Tiada lagi degupan jantung, tiada lagi mengalirnya darah, tiada lagi hembusan nafas. Terbujur kaku jasad. Mula kebiruan. Sebesar zarah kudrat pun tak mampu menggerakkan apa-apa lagi.

Meraunglah ahli keluarga, sahabat handai yang rapat. Tak sangka! Tak sangka! Semuda ini dah pulang menghadap ilahi? Teringat Allahyarham Hani Mohsin dulu. Pun diusia awal 40an. Tahu-tahu rebah dan meninggal dunia.

Semua yang kita usahakan jadi milik orang lain. Jadi kenangan sahaja. Harta yang berjuta semuanya bukan lagi milik kita. Aset-aset yang menimbun hingga berpuluh, beratus semuanya jadi milik orang lain. Takda satu pun yang membantu kita dari pedihnya saat nyawa direntap dari jasad. Malaikat maut yang datang mukanya tak senyum, tuan-tuan. Dia tak bagi warning. Dia nampak je nama kita dah gugur di Luh Mahfudz sana, dia terus pergi ke kita. Mengintai-ngintai kita. Tepat waktu ajal kita tiba, dia rentap tanpa belas kasihan nyawa kita.

Nahh, tercabut nyawa dari badan. Keras kejung terus jasad kita.

Kot lah masa tu kita diberi keizinan untuk dapat tengok keadaan jasad kita yang dah terkaku tu. Mesti menangis punya tuan-tuan. Takut yang amat. Ini rupanya kematian. Pandang pula isteri yang tak habis menangis memeluk jasad kita, tengok orang ramai mula berkerumun dekat jasad kita. 

"Allah Akbar! Apa aku nak buat ni? Aku dah mati! "

Masa tu tak teringat apa dah tuan-tuan. Cemas yang teramat sangat. Terbayang kebaikan apa yang aku dah buat sepanjang aku hidup ni?

"Kalau tahu mati hari ni, mesti aku dah buat sedekah tak putus sampai habis harta. Bantu ramai manusia."

Takutnya, tuan-tuan. Terpandang lagi rumah kita besar-besar, kereta kita puluh-puluh, dalam akaun ada duit berjuta. Tapi bukan milik kita lagi. Kan kita yang usahakan semua tu dulu bagai nak mati? Allahu, Kita dah mati. Nampak adik beradik kita yang datang, ada yang miskin, yang kita tak pernah bantu pun sepanjang kita senang dulu. Nampak pula ibu ayah kita datang, tak sudah lap air mata menangis. Padahal sepanjang hidup kita, sikit pun kita tak pernah peduli nasib ibu ayah kita. Makan diorang, rindu diorang, susah diorang.

Kedudukan kita yang besar, diganti oleh orang baru. Sehari lepas kita mati. Esoknya dah ada meeting untuk gantikan kedudukan kita. Kita pergi macam tu je tuan-tuan. Tak tertinggal apapun untuk orang kisahkan kita lagi. Tinggallah kita dalam kenangan sahaja. Segala sanak saudara, isteri, kawan-kawan. Semuanya akan teruskan kehidupan mereka seperti biasa tanpa kita. Sedih tu paling lama pun berbulan je tuan-tuan. Lepas tu masing-masing dah mula terima takdir kehilangan kita. Harta yang dulu kita kumpul bagai nak gila tu, semuanya jadi hak milik orang lain dah. Bukan atas nama kita lagi.

Seram, tuan-tuan. Itu lah pun realitinya kehidupan. Tinggal kita pilih nak kehidupan yang macam mana sahaja. Nak dongak langit lagi dengan kekuatan dan kejayaan di bumikah? Nak bangga dengan dosa ubah jantina kita kah? Nak bangga dengan fitnah-fitnah kita hingga ada insan yang terduduk jatuh ke?

Semoga Allah tempatkan ahli keluarga kita, sahabat handai kita yang dah pergi dijemput ilahi ini bersama dengan mereka-mereka yang mendapat syafaat. Sesungguhnya mereka ini juga pernah buat kebaikan pada umat islam waimah sebesar zarah.

Kita yang masih hidup, harta berjuta, aset berpuluh, beratus, jangan takut memberi. Tutup mata je. Tak akan rugi satu habuk pun. Semua yang kita bantu ni esok kita mati, diorang ni antara yang akan ingat kita dan doakan kita atas kebaikan kita. Tak mestinya anak yatim, tak semestinya rumah orang-orang tua. Banyak lagi dekat luar sana. Yang fakir, yang mualafnya, yang ditimpa ujian bertalu hingga tidak tinggal secebis pun makanan.

Mana tau esok giliran kita pulang menghadap Maha Pencipta? Sekurang-kurangnya semalam ada juga buat kebaikan. 

Setiap inci harta yang kita ada tu nanti akan dipersoalkan kelak. Agak-agak nak jawab apa tu nanti? Nak jawab yang harta ni kita kumpul banyak-banyak sebab nak tunjuk kejayaan kita pada manusiakah? Nak cakap yang kita nak jadikan ni semua sebagai motivasi supaya orang islam bersemangat nak ubah ekonomi? Nak jawab yang kita kumpul ni semua untuk anak-anak kita? Itu sahaja? 

Jangan tak tau, tuan-tuan. Yang akan jawab setiap soalan malaikat nanti bukan mulut kita. Mulut kita ni suka menipu. Suka cakap benda yang merapu-rapu. Mulut akan tertutup rapat. Yang akan jawab nanti anggota badan kita ni.

Bergetar tak sudah, tuan-tuan. Waktu tu tinggal menyesal je. Paling menghantui waktu tu apa tuan-tuan? Segala kata takbur kita sepanjang di bumi yang penuh tipu daya ni. Semua orang yang pernah tebal muka mohon simpati pada kita, kita akan teringat balik muka sorang-sorang dan menyesal tak sudah. Merayu kita nanti mohon pada Tuhan untuk dihidupkan beberapa minit supaya dapat kita sedekahkan segala harta kita ni.

Tapi waktu tu. Dah terlambat, tuan-tuan. Bunyi dengus malaikat yang datang pun, dah rasa nak bercerai badan kita dah. Menggelupur. 

Aku yang menulis,
Tuan Amir Danau

P/s : Akhir zaman ni macam-macam misteri yang wujud. Tengah gelak, tau-tau mati. Tengah bersukan tau-tau mati. Tengah sedap meratah anak dara orang, tau-tau mati. Tengah konfiden muda lagi, tau-tau mati. Tengah konfiden dari lelaki jadi perempuan, tau-tau mati. Tengah rasa diri gangster besar, tau-tau mati. Dalam kubur, malaikat tak panggil dah nama kita Dato Seri ke, Ayahanda ke, Tiger Komando Southern ke, Hang Jebat ke, takda. Tinggal tunggu nak kena sapu je sampai pecah dada, habis berkecai tulang temulang dalam kubur nanti. Try lah offer duit pada malaikat time tu. Duit berjuta kan. Try kawtim macam dekat bumi kalau lepas. Bergantung pada amalan dan kebaikan kita di dunia.

No comments: