ENTRY-ENTRY BARU..JOM JENGUK

Tuesday, March 10, 2020

apa yg isteri mahu dari FB kitab Al hikam

Apa yang Perempuan Mahu Sebenarnya Dari Suami?

Apa yang perempuan mahu sebenarnya dari seorang suami?
Dengar..
Walaupun anda sudah menjalankan tanggungjawab memberi nafkah kepada isteri..
… itu tidak bermakna tugas anda telah selesai.
Itu masih belum cukup bagi perempuan yang bergelar isteri.
Sebagai lelaki, saya akui memang sukar untuk memahami apa yang perempuan mahukan daripada kita sebenarnya.
Tindakan mereka selalu bercanggah, dan kata-kata mereka selalu mengelirukan.
Mereka tidak memberitahu kita apa yang mereka mahu dari kita.
Mereka selalu mengharapkan para suami faham sendiri dan sentiasa hidup dengan berteka-teki tentang apa yang mereka rasa.
Perempuan bila tak dipujuk, dia marah. Dan bila dah dipujuk, dia semakin merajuk.
Ada masanya, isteri akan menjadi sangat sensitif. Tiba-tiba boleh menjadi pemarah, dan kadangkala menangis tanpa sebab yang pasti.
Memeningkan bukan?
Apa yang perempuan mahu sebenarnya?
Mengapa perempuan begitu?
Tapi secara realitinya, memahami hati seorang isteri sebenarnya tidaklah rumit.
Sebenarnya, apa yang wanita mahu adalah ingin berasa selamat, ingin rasa ada ikatan emosi dan merasa yakin bahawa kita akan bersama mereka untuk seumur hidup.
Sepanjang tempoh perkahwinan saya,  saya selalu memerhatikan gelagat isteri saya.
Kadangkala bertanya kepada dia apa yang dia mahukan secara berlapik, tanpa dia sedar.
Ada beberapa perkara menarik yang saya dapat kongsikan mengenai perempuan, khususnya isteri.
Berminat untuk tahu?
Teruskan membaca artikel ini..
1. Isteri laparkan perhatian
Berapa kali anda buat kerja lain apabila berbual dengan mereka?
Adakah anda selalu menjawab soalan mereka secara sambil lewa dan menjawab lain apa yang ditanya?
Sebenarnya sifat semulajadi wanita adalah mereka sangat menghargai setiap waktu yang mereka luangkan bersama kita.
Mereka mahu kita memberi perhatian dan terlibat sepenuhnya setiap saat dengan mereka. Dengan erti kata lain, mereka laparkan perhatian.
Sebagai suami, seboleh-bolehnya luangkan masa untuk isteri anda. Fokus kepada mereka.
Pada awal perkahwinan saya, saya selalu mengabaikan perkara ini. Saya selalu lebih fokus terhadap kerja, sepanjang hari dan sepanjang malam. (menulis mengambil masa yang banyak)
Perkara ini selalu membuatkan isteri saya rasa terabai.
Tetapi setelah mengetahui perkara ini, saya cuba mengimbangi masa bekerja dan masa untuk isteri.
Alhamdulillah, tindakan ini memberi impak kepada kemesraan kami kembali.
Saya tahu perkara ini mungkin agak sukar bagi suami yang selalu bekerja lebih masa, tetapi luangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap hari akan memberi makna yang besar terhadap isteri.
Yang penting, gunakan waktu tersebut untuk perhatian sepenuhnya terhadap mereka.
2. Suami yang sentiasa tenang
Wanita menghargai seorang suami yang dapat mengawal emosi dan terbuka untuk membincangkan isu-isu tanpa meninggikan suara atau mengelakkan diri.
Kematangan emosi dan fikiran adalah apa yang wanita mahu dari kita lebih daripada apa-apa perkara lain.
Menurut Imam Ghazali, jadilah seorang suami yang halim.
‘Halim’ maknanya ialah “sabar”, tidak cepat marah ketika isterinya kurang akal. Bilakah seorang isteri kurang akal? Yakni ketika isterinya sedang marah.
Lalu dia bersabar, maka itulah suami yang paling baik..
Jadi, perdengarkan apa yang dikatakan isteri tanpa prejudis dan ambil hati.
Mendengarkan akan membantu isteri melepaskan perasaan yang terpendam, yang mengganggu emosinya.
Walaupun anda tidak mampu menyelesaikan masalahnya – dengarkan dan fahamkan mereka dengan sepenuh hati.
3. Mampu merendahkan diri
Kebanyakkan suami (lelaki), kita tidak dapat lari masalah ego.
Memang benar, didalam rumah tangga kita adalah ketua keluarga. Kita mahu kelihatan lebih dihormati dan membuktikan kita adalah pemimpin terbaik.
Namun, jangan disebabkan ini, kita menjadi seorang yang angkuh, meninggi diri dan kasar.
Mukmin yang paling sempurna adalah yang paling baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik tehadap isteri-isterinya. ”
– Hadis riwayat at-Tirmidzi, disahihkan oleh Syeikh Albani
Apa yang isteri perlukan adalah seorang suami yang dapat merendah diri, adil dan sopan dalam melayani isteri.
Jangan sesekali memandang rendah atau menghina mereka dan juga ahli keluarga mereka. Isteri adalah sahabat kita, beri mereka penghormatan yang sewajarnya.
Jagalah hati mereka, insyaAllah dengan keberkatan akan hadir rumah tangga anda.
4. Boleh mempamerkan kelembutan (gentleman)
Memang bukan dalam sifat kita lelaki untuk lembut dan gemalai.
Secara normalnya, lelaki selalu sedikit kasar. Baik dari segi pergaulan, percakapan dan tindakan.
Tetapi apabila berkisar tentang rumahtangga, lemah lembut dalam perkataan, pemikiran, dan tindakan akan memberi banyak keharmonian dalam rumahtangga.
Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”
– surah al-Nisa’ ayat 19.
Layanilah isteri dengan penuh hormat. Berbuat baik dan bercakaplah dengan perkataan yang lembut.
5. Suami yang kuat
Wanita sukakan lelaki yang kuat.
Tapi ini tidak bermakna kita harus memukul orang lain yang buat silap dan tergesa-gesa menyelesaikan masalah
Kekuatan yang sebenarnya adalah mampu bersabar, mampu mendengar luahan isteri, dan berupaya serta tabah menghadapi segala cabaran dan dugaan hidup yang muncul.
Tunjukkan kepada isteri anda bahawa anda sentiasa ada disisinya untuk setiap waktu.
Inilah kekuatan sebenar yang diperlukan oleh seorang isteri.
6. Sentiasa jelas dalam menyelesaikan masalah
Kebanyakkan lelaki cenderung untuk tidak fikir berlebih-lebih atau merumitkan sesuatu perkara.
Kita kurang bimbang tentang apa yang orang lain fikir dan tidak menghabiskan banyak masa risau tentang perkara yang kita tidak pasti.
Teruskan untuk memudahkan sesuatu perkara dengan mencari jawapan yang mudah dalam situasi yang kompleks.
Dan membawa perspektif yang jelas dalam sebarang masalah.
7. Humor
Life’s too serious already.
Kadangkala isteri mahu juga ketawa. Humor adalah cara yang baik untuk mengurangkan ketegangan.
Jika anda seorang yang pandai buat lucu, selalulah berjenaka dalam hubungan rumahtangga anda. Jika anda bukan jenis kelakar, maka berkongsilah perkara-perkara yang anda rasa lucu dengan isteri anda.
Ketawa mampu merapatkan jarak diantara dua hati.
8. Menunjukkan kasih sayang
Isteri sukakan perkara-perkara kecil, seperti gerak isyarat yang menunjukkan kepada mereka bahawa kita berfikir tentang mereka.
Ya, perkara ini mungkin seperti mesej whatsapp yang sweet yang tidak dijangka olehnya, belikan makanan kegemaran atau membuat sesuatu perkara untuknya tanpa perlu diminta.
Perkara lain yang mungkin boleh dilakukan adalah termasuk memberi hadiah tanpa sebab, menampalkan nota terima kasih di cermin atau bawa dia makan diluar sekali-sekala.
9. Beri penghargaan kepada isteri
Banyak yang pasangan kita lakukan dalam rumahtangga tidak akan sedari .
Kebanyakan suami (dan isteri) cepat menyalahkan pasangan mereka dengan rungutan dan bebelan, tetapi jarang pula untuk berkongsi apa yang mereka suka dengan pasangan mereka.
Isteri biasanya membahagikan masa pada banyak perkara dalam satu masa dan peranan mereka sering diambil mudah.
Tunjukkan penghargaan anda kepada mereka. Ucapkan terima kasih. Beri mereka pelukan.
Tunjukkan bahawa anda menyedari segala pengorbanan yang dia lakukan akan banyak membantu isteri rasa dihargai dan disayangi.
10. Menerima segala kelemahan Isteri
Daripada mencabar, mentertawakan isteri anda, atau mempersoalkan kelemahan isteri anda, mengapa tidak menerima sahaja semua itu dengan hati yang terbuka?
Jangan tunjukkan kelemahan dia, jangan disebut mengenai sifat-sifat tertentu yang jelik, atau membuat dia berasa sedih tentang sesuatu yang dia sudah merasa kecewa mengenainya.
Secara semulajadi, wanita memang selalu merasakan dinilai oleh orang lain. Dia rasa selalu diperhatikan.
Janganlah seorang suami yang beriman membenci isterinya yang beriman. Jika dia tidak menyukai satu akhlak darinya, dia pasti meredhai akhlak lain darinya.”
– Hadith riwayat Muslim
Jangan pernah menyesal dengan segala baik dan keburukan isteri kita.
Berhenti menghakimi mereka dan terimalah mereka apa seadanya. InsyaaAllah, perkara ini akan membantu mereka rasa disayangi dan selamat bila bersama-sama kita.
Penutup: memahami isteri bukannya sukar.. tapi..
Sebenarnya, bukanlah sukar untuk memenuhi kehendak isteri, cuma kita kadangkala perlu lebih peka dengan mereka.
Mereka ingin perhatian. Mereka ingin disayangi. Mereka ingin sentiasa mahu rasa ada seseorang disisi.
Tunaikan apa yang mereka perlukan ini, pasti ada kehangatan dan kebahagiaan dalam rumah tangga anda.
Lelaki ialah pemimpin bagi perempuan oleh kerana Allah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana lelaki telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.”
– Surah an-Nisa, ayat 34
Tujuan saya menulis artikel ini bukanlah mendakwa saya suami yang baik, tetapi sebagai peringatan saya sendiri (dan kita bersama) agar lebih menghargai isteri kita.
Semoga kasih sayang dalam rumah tangga anda membawa hingga ke syurga .

Monday, March 9, 2020

Bila Arief berada di satu majlis bersama Ustaz Wadi Anuar Di Madrasah Darul Atiq



Alhamdulilah Majlis ini telah diadakan dengan izin Allah di Madrasah Darul Atiq    di tempat anak kedua saya Amirul Arief meneruskan pendidikannya

sejuk hati mama tengok gambar anak bujang mama. smoga dikuatkan hati dan semangat untuk belajar ilmu agama. mama tau bukan mudah. mama nak hafal juz amma pun terkial2.. Semoga Allah merahmati perjalanan Arief di laluan agama ..Insya Allah.Amin

 Semoga Allah ringan kan kaki kami sekeluarga ke majlis ilmu
Semoga Allah dekat kan kami dengan alim ulama.
Alhamdulillah baru sebulan Arief Di Madrasah Darul Atiq dah dpt satu majlis dengan Ustaz Wadi Anuar.

Syukur Sgt dgn nikmat Di jalan agama yg Allah beri selepas episod "didikan" yg panjang. Alhamdulillah ❤️
Semoga Arief diberi semangat, kekuatan hati, kesabaran dan kecerdasan untuk serap ilmu agama yg ustaz2 ajar.
Mesti Arief happy papa dia datang sertai kuliah perdana dan majlis tahlil Di sana. Mama tak dapat ikut kali ini. Insya allah ada peluang mama sertai.

 Seronok sangat papa Arief dapat jumpa Ustaz Wadi Anuar.


Itulah Ustaz Rizam- Mudir Madrasah Darul Atiq yang Arief panggil Abi.

Sedikit sebanyak latar belakang Madrasah Darul Atiq



Bagi sesiapa yg berhajat utk menyumbang berbuka puasa, sahur dan moreh utk anak2 Madrasah Darul Atiq adalah dialau-alukan. Sebagai ucapan terima kasih Madrasah kepada pihak penyumbang kami akan hadiahkan bacaan tahlil serta khatam alquran kepada arwah..
Pihak kami mengalu2kan penyertaan dari tuan puan utk menyertai program sumbangan iftar dan sahur setiap hari sepanjang bulan ramadhan sebanyak RM1300 sehari utk menampung seramai 250 org pelajar.
DENGAN INI KAMI MEMOHON SUMBANGAN SEBAN RM200 IAITU SECARA BERKUMPULAN BG MENCUKUPI KOS PROGRAM
Dan sebarang maklumat dan pertanyaan blh hubungi terus.
SEBARANG PERTANYAAN BLH HUBUNGI AZIZAN/UST NASRUL
.


Ustaz Azizan nie adalah ustaz yang menjaga tempat anak-anak lelaki di Madrasah Darul Atiq tempat anak saya belajar. Jemput follow dia juga. Ustaz zizan nie idola Arief haha..  ustaz bukan sekadar ustaz ye. Takjub si arief 😆 Ustaz yg ada skill. Arief Selalu cakap nak belajar naik kuda, memanah, silat dengan ustaz zizan. Dan ada satu video ustaz pecah kan ais atau besi masa persembahan Di Pasantren Al Fatah Temboro Di Indonesia. Semuanya Arief tengok kat fb maknya.. Next time saya share tentang Ustaz Azizan idola Arief nie ye.. Eh nama ustaz sama pulak mcm ex bos saya dulu :)




Sunday, March 8, 2020

selamat hari wanita

Sedari kecil kau dijaga dengan penuh kasih dan sayang. Dibelai, dimanja dan diajar seiring dengan jantinamu, seorang perempuan.

Masa berlalu, kau semakin dewasa, rupa parasmu sungguh jelita. Lengkap dan sempurna sebagai seorang wanita dambaan lelaki. Masa untuk dirimu dicintai dan mencintai.

Menuju ke gerbang perkahwinan dengan penuh harapan bahagia sehingga habis nyawa.  Kau harapkan panas sehingga ke petang. Rupanya hujan di tengahari.

Wahai wanita, usah pernah menyesal dengan apa yang ditakdirkan kepadamu. Kau diuji dengan ujian yang mampu kau hadapi. Allah tidak pernah mensia-siakan kehadiranmu ke duniamu.

Wanita, saat kau menangis dalam hati, Allah menitipkan pahala buatmu. Saat kau menahan sakit, Allah ampunkan dosa-dosamu. Saat kau menanggung derita dihina, dikeji dan disepak terajang, Allah sentiasa menanti doa-doamu.

Wanita, kau dilahirkan berfizikal lembut, tetapi sebenarnya jiwamu sekuat besi waja yang tak mampu dibengkokkan dengan ujian dan dugaan.

Wanita, jangan pernah menyerah kalah. Lalui keperitan ini dengan redha kerana syurga itu mahal harganya.

Buat semua wanita hebat di luar sana, sesungguhnya dirimu umpama bintang di langit malam, biarpun dalam kelam, kerlipanmu  sungguh mempersonakan.

SELAMAT HARI WANITA...

#MaahadazzeinAlmakki
#muhasabahdiri
#ghostwriter
#berdoalah
#TAteam

kuasa sujud

Rahsia Sujud Di Dalam Solat (Ayuh Sebarkan!!!)

Tahukah kita solat 5 KALI sehari iaitu 17 RAKAAT telah berlaku 34 kali SUJUD. Di dalamnya terdapat 1001 hikmah yang terkandung. Antaranya:-

Seorang ahli Sains saraf otak Amerika, Dr. Fidelma O’leary mendakwa bahawa beberapa saraf di otak manusia tidak boleh dialiri oleh darah dari jantung kerana posisi jantung yang berada di dada tidak cukup kuat untuk menampung pembawaannya ke otak manusia. Padahal otak amat memerlukan oksigen dan bekalan darah yang mencukupi supaya dapat berfungsi secara normal. Beliau mengkaji dari tempoh masa yang lama untuk mencari jawapan. Dikaji dengan lebih serius akhirnya dia perolehi jawapan bahawa darah akan mengalir setiap inci ke otak manusia secara sempurna ketika seseorang itu melakukan sujud seperti yang dilakukan oleh orang-orang Islam dalam solat. Bila perkara ini berlaku,maka otak dapat bekalan darah dan oksigen yang mencukupi lalu dapatlah menghindarkan pelbagai jenis penyakit seperti stress, migraine, stroke , menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran sekali gus menguatkan mentaliti kita (terutama ketika sujud waktu solat Subuh). Juga boleh membaiki posisi anak dalam kandungan rahim…dll.

Paling HEBAT lagi maka dia memeluk Islam…hebat tak kuasa SUJUD?

Sebenarnya:-

1. SUJUD PERTAMA tanda TAAT (PERINTAH ALLAH)
2. SUJUD KEDUA  tanda SYUKUR  (HAMBA KEPADA ALLAH)


Dalam khutbah Ramadhan Nabi s.a.w bersabda:,
Punggung-punggung kalian sudah berat menanggung dosa-dosa kalian. Ringankan lah beban kalian dengan memperbanyakkan sujud.

“Hendaklah kamu bersujud kepada Allah kerana sungguh tiada sekali engkau bersujud melainkan dengannya Allah mengangkat satu darjat dan menghapuskan satu dosa (kesalahan) darimu” ,(HR Muslim) 

Firman Allah SWT yang bermaksud:-

” Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar” (Surah Al-Ankabut ayat:45) 

Dari Sudut Tasawuf

Sujud adalah waktu di mana seorang hamba itu paling hampir dengan Penciptanya. Pergerakan sujud itu secara lahirnya telah menunjukkan “rasa menghina dirinya” seseorang hamba itu di depan Tuhannya di dalam keadaan menyerah diri, pasrah, berikrar dan mengaku bahawa“Ya Allah hanya Engkaulah Tuhan yang layak disembah, ditakuti, dicintai dan hanya pada-Mu sahajalah tempat berserah dan memohon pertolongan”.

Seorang sahabat Nabi SAW iaitu Huzaifah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:-“Tiadalah keadaan seorang hamba yang paling disukai oleh Allah daripada Dia melihat hamba-Nya itu di dalam keadaan bersujud, dengan meletakkan mukanya di tanah
 ( sebagai tamsilan tunduk, pasrah dan rasa hina seorang hamba kepada Allah)”. (Hadis Riwayat Imam Tabrani).

Firman Allah SWT yang bermaksud:- ” Sesungguhnya orang-orang yang beriman dengan ayat Kami ialah orang yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat Kami mereka menyungkur sujud dan bertasbih serta memuji Tuhan dan mereka tidak menyombongkan diri” (Surah As-Sajadah ayat 15).

Sujud bererti seseorang itu telah meletakkan wajahnya ditempat yang paling rendah di atas tanah ini bermakna ia telah meletakkan seluruh dirinya di atas tanah, mengingatkan dirinya terhadap punca asal kejadian manusia itu dari tanah dan mengembalikan dirinya kepada tanah. Apabila ia telah sanggup menghantar dahinya dan juga dirinya ke tempat yang hina maka tidak mungkin ia akan bersikap sombong lagi terhadap Allah yang menciptakan dirinya dari tanah itu.

 Maka setiap kali sujud sewajarnya seseorang itu sentiasa ia mengingati akan mati, apabila ia ingat akan mati maka terasa seolah-olah bahawa solatnya itu sebagai solat penghabisan kerana ia akan menghantarkan dirinya ke tanah. Ia merasakan bahawa setiap kali ia sujud seolah-olah ia tidak akan bangun lagi. Sedangkan kematian itu merupakan pintu bagi seseorang memasuki gerbang akhirat.

Dalam keadaan demikian maka hati akan merasa gerun dan merasai kebesaran Allah dan ketika itulah ia membaharui lagi di dalam hatinya untuk mensucikan Zat Allah Yang Maha Tinggi disamping lidah tidak bertulang mengucapkan, “Subhana Rabbial- A’la wa-Bihamdih”.

P/S: Islam itu kan indah.. solat itu sempurnakan dan berikan kebaikan kepada Hambanya zahir dan batin. Bila kita sempurnakan hak Allah (solat) , Dia akan menyempurnakan hak kita sebagai hamba (hikmah dan kebaikan )  Konsep GIVE AND TAKE…

Friday, March 6, 2020

merawat masalah ke keluarga an dan rumahtangga

Merawat Masalah Kekeluargaan dan rumahtangga, hasil tadabbur Surah Yusuf dan Maryam

"... Masa dan sabar, pengubat hubungan..." 

Surah Yusuf dan Maryam sangat indah dan sesuai untuk ditadabburi oleh mereka yang ingin mengambil iktibar dalam masalah rumahtangga dan hubungan kekeluargaan.

Allah berfirman;

لَقَدْ كَانَ فِي يُوسُفَ وَإِخْوَتِهِ آيَاتٌ لِلسَّائِلِينَ

"Sesungguhnya ada beberapa tanda-tanda kekuasaan Allah pada (kisah) Yusuf dan saudara-saudaranya bagi orang-orang yang bertanya." (Yusuf: 7)

1. Surah-surah ini mengajarkannya kita hakikat kehidupan insan bahawa tiada manusia yang terlepas daripada masalah rumahtangga dan kekeluargaan, hatta keluarga para nabi yang hebat. 

Nabi Yusuf alaihisalam diuji dengan adik-beradik yang cemburu dan Nabi Ya'kub alaihisalam diuji dengan anak-anak yang degil lagi derhaka.

2. Kebanyakan musibah dan fitnah bermula daripada niat yang baik, sebagaimana anak-anak Ya'kub alaihisalam yang berniat baik,

Kata mereka;

اقْتُلُوا يُوسُفَ أَوِ اطْرَحُوهُ أَرْضًا يَخْلُ لَكُمْ وَجْهُ أَبِيكُمْ وَتَكُونُوا مِنْ بَعْدِهِ قَوْمًا صَالِحِينَ

"Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia kesuatu daerah (yang tak dikenal) supaya perhatian ayahmu tertumpah kepadamu saja, dan sesudah itu hendaklah kamu menjadi orang-orang yang baik." (Yusuf: 9)

Mereka bertujuan baik, (يَخْلُ لَكُمْ وَجْهُ أَبِيكُمْ) untuk mendapatkan perhatian dan kasih sayang penuh bapa mereka iaitu Ya'kub alaihisalam yang dianggap berat sebelah pada sangkaan mereka.

3. Banyak hubungan kekeluargaan, rumahtangga rosak akibat sangkaan dan anggapan. Sangkaan atau disebut الظن seringkali menjadi alat syaitan merosakkan hubungan sesama manusia.

Kerana itu Allah berfirman;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ

"Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah bersangka-sangka, kerana sebahagian dari sangka-sangka itu dosa..." (Al-Hujurat:12)

Agaknya, rasa-rasa, mungkin, jangan-jangan... seringkali menjadi racun yang merosakan  perasaan dan hati nurani manusia.

4. Menangis itu lumrah, dalam Al-Quran, Allah menceritakan bagaimana Nabi Allah Ya'kub alaihisalam menangis kerana kehilangan anaknya Yusuf sedangkan baginda ialah Nabi Allah dan demikian Maryam yang menangis dan bersedih sambil mengeluh atas nasib dirinya yang hamil tanpa suami dan bimbang tuduhan buruk orang-orang ke atas dirinya.

Allah berfirman tentang Maryam yang menyebut;

يَا لَيْتَنِي مِتُّ قَبْلَ هَٰذَا وَكُنْتُ نَسْيًا مَنْسِيًّا

"Aduhai, alangkah baiknya aku mati sebelum ini, dan aku menjadi barang yang tidak berarti, lagi dilupakan". (Maryam: 23)

Kata-kata Maryam ini bukanlah bermaksud beliau tidak redha atau berputus asa tetapi mengambarkan bahawa agama ini bukan hitam putih atau semuanya perlu dihukum sebagai halal atau haram, sah atau batal.

Ada kalanya, biarkan sahaja.

Allah abadikan keluhan ini bagi mengambarkan betapa Allah menyantuni keluhan hamba-hamba-Nya dan bukan hanya mahu menghukum sebagai kufur, syirik, kafir, fasik, derhaka dan sebagainya. 

5. Syaitan adalah perosak dan punca sebenar kepada segala perselisihan dan masalah di antara sesama keluarga dan rumahtangga.

Allah berfirman;

مِنْ بَعْدِ أَنْ نَزَغَ الشَّيْطَانُ بَيْنِي وَبَيْنَ إِخْوَتِي ۚ

".. setelah syaitan merosakkan (hubungan) antaraku dan saudara-saudaraku...(Yusuf: 100)

Kerana itu penting bagi setiap yang bergaduh untuk membaca أعوذ بالله من الشيطان الرجيم bagi meminta perlindungan Allah daripada syaitan.

Sebagaimana dalam hadith Al-Bukhari dan Muslim tentang dua orang yang bergaduh di hadapan Nabi salallahualaihiwassalam dan disuruh mereka supaya membaca تَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ bagi menghilangkan kemarahan mereka. 

Diriwayatkan dari Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda;

إذا غضب الرجل فقال : أعوذ بالله سكن غضبه
“Jika seseorang itu marah, lalu dia mengatakan: a’udzu billah (aku berlindung pada Allah), maka akan redalah marahnya.” [HR. Ibn Adi dalam Al-Kamil]

6. Ubat dan rawatan yang paling mujarab bagi masalah kekeluargaan dan rumahtangga ialah kesabaran dan masa.

Dikatakan oleh ahli tafsir bahawa tempoh perpisahan Yusuf alaihisalam dengan bapa dan ahli keluarganya ialah selama 30 tahun, ada yang berpendapat selama 40 tahun dan ada yang mengatakan tempohnya adalah lebih daripada itu seperti Imam Ibn Jarir Al-Tabari rahimahullah yang meriwayatkan bahawa tempohnya ialah selama 80 tahun lebih.

Para ahli hikmah menyebut;

 الصبر كالصبر مر في مذاقته لكن عواقبه أحلى من العسل

`Sabar itu adalah pahit seperti buah Sibr rasanya, tetapi hasil akibatnya adalah lebih manis daripada madu.. '

Pergaduhan adik-beradik, perpisahan anak beranak, pertengkaran suami isteri, ipar-duai, mertua dan sebagainya memakan masa untuk pulih atau baik.

7. Orang yang gopoh, tidak penyabar dan anak muda yang belum berpengalaman dalam selok beluk rumahtangga, isu kekeluargaan perlulah menahan diri daripada mencampurinya kerana dibimbangi membawa mudharat daripada ubat.

Bukan semua perkara perlu kepada fatwa dan dijawab, 

لكل مقال مقام ، وليس كل ما يعلم يقال

'Bagi setiap ungkapan itu ada tempatnya dan bukanlah setiap apa yang diketahui itu diucapkan..'

Itulah maksud hikmah, mengetahui apa dan bagaimana..

Ketenangan الأناة ialah hasil daripada ketabahan hati dan kemampuan untuk bersabar dan mengawal diri.

Allah berfirman tentang Yusuf yang berhasil mengawal emosi dirinya, agar rahsianya terpelihara;

قَالُوا إِنْ يَسْرِقْ فَقَدْ سَرَقَ أَخٌ لَهُ مِنْ قَبْلُ ۚ فَأَسَرَّهَا يُوسُفُ فِي نَفْسِهِ وَلَمْ يُبْدِهَا لَهُمْ ۚ قَالَ أَنْتُمْ شَرٌّ مَكَانًا ۖ وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا تَصِفُونَ

"Mereka berkata: "Jika dia mencuri, maka sesungguhnya, telah pernah mencuri pula saudaranya sebelum itu". Maka Yusuf pun menyembunyikan kejengkelan itu pada dirinya dan tidak menampakkannya kepada mereka. Dia berkata (dalam hatinya): "Kamu lebih buruk kedudukanmu (sifat-sifatmu) dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu terangkan itu". (Yusuf: 77)

Bukan semua isi hati, komen dan perasaan kita perlu dizahirkan, ada kalanya demi mencapai sesuatu tujuan dan maslahat, ianya disimpan dan dipendamkan.

Itulah kematangan hidup.

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَنْ يَشَاءُ ۚ وَمَنْ يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ 

"... Allah menganugerahkan al hikmah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang dianugerahi hikmah, dia telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakal yang dapat mengambil pelajaran..." (Al-Baqarah: 269)