ENTRY-ENTRY BARU..JOM JENGUK

Friday, November 17, 2017

pesan datuk nik abdul aziz

JAGA HATI ISTERI JUGA NAFKAH BATIN
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim
 
Saat itu adalah saat debaran (23 Julai 1999, pagi Jumaat, selepas solat Subuh dalam Masjid Kg Pulau Melaka, Kota Bharu Kelantan). Sebentar lagi Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz akan mengahwinkan saya dengan isteri sebagai wakil wali bakal mentua saya. Sebagaimana lazimnya sebuah perkahwinan, ia akan dimulai dengan khutbah nikah bagi menjentik hati bakal suami tentang tanggungjawab rumahtangga yang akan dipikulnya kelak.
 
Sambil tangannya memegang borang nikah, Tuan Guru mendongak melihat wajah saya lalu memulakan khutbahnya. Khutbah Tuan Guru ringkas padat. Banyak isinya yang menusuk jiwa, tapi ada “DUA” pesanannya  tersemat kemas dalam jiwa saya sampai hari ini. Ternyata ia sangat berguna bagi suami isteri dalam melayari rumah tangga. Pesannya:
 
1) Jangan amal tabiat nikah cerai atau tukar pasangan tanpa alasan kukuh.
 
 Tuan Guru berpesan:
“Allah tak suka jenis orang yang kahwinnya merata tempat. Atau kahwin cerai, kahwin cerai tanpa alasan kukuh.
 
Ia dipesan Rasulullah:
 
فَإِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الذَّوَّاقِينَ وَلا الذَّوَّاقَاتِ
Ertinya: Sesungguhnya Allah tidak suka (lelaki dan wanita) yang bernikah berganti-ganti (hanya untuk merasai persetubuhan) (al-Mu’jam al-Kabir Imam al-Tabrani) (setakat pembacaan saya, hadith ini lemah darjatnya dan tak boleh dijadikan hujah.  Walaupun begitu, makna hadith ini bagus untuk diperhatikan.  Tambahan pula ia menyentuh aspek akhlak dan bukannya perkara pokok dalam Islam
 
 
2) LUASKAN MAKNA NAFKAH BATIN untuk isteri.
 
Tuan Guru turut berpesan:
“Dalam rumah tangga suami wajib memberi nafkah zahir dan batin kepada isteri. Orang kita pula apabila sebut nafkah batin pasti ingat ia sekadar hubungan kelamin atau persetubuhan. Kita kena luaskan makna nafkah batin! IA TURUT MERANGKUMI MENJAGA HATI ISTERI. LAYAN DIA DENGAN BAIK DAN KASIH SAYANG. JANGAN KECILKAN HATI PASANGAN. Kalau kita mahu isteri menjaga hati kita, kita juga perlu menjaga hati mereka.”
 
Pesanan Tuan Guru itu disebut tegas oleh Allah dalam firmanNya:
وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَى وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنْبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ مَنْ كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا
Ertinya: Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; “DAN HENDAKLAH KAMU BERBUAT BAIK” kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, “RAKAN SEJAWAT”, orang musafir yang terlantar dan hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri; (al-Nisa’ [4:36]).
 
Sebahagian ulama Tafsir mentafsirkan perkataan “TEMAN SEJAWAT” sebagai isteri (Tafsir Ibn Kathir). Dengan makna ini, berbuat baik kepada isteri adalah suatu tuntutan agama yang perlu dilaksanakan suami. Berbuat baik itu pula luas maknanya dan turut merangkumi aspek menjaga hati.
 
Dalam ayat lain Allah turut berfirman:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ فَإِنْ كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا
Ertinya: Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Jika kamu (berasa) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu) (al-Nisa’ [4:19]).
 
 
Menjaga hati atau batin isteri turut ditegaskan oleh Rasulullah SAW:
لَا يَجْلِدُ أَحَدُكُمْ امْرَأَتَهُ جَلْدَ الْعَبْدِ ثُمَّ يُجَامِعُهَا فِي آخِرِ الْيَوْمِ
Ertinya: Janganlah kamu merotan (memukul) isterinya seperti memukul hamba, kemudian menyetubuhinya di akhir hari (malam) (Sahih al-Bukhari).
 
Hubungan suami isteri dalam rumah tangga bukanlah hubungan hamba (isteri) dan tuan (suami)! Bukan juga hubungan pembekal bahan mentah (suami) dan pengutip hasil (isteri). Ia adalah hubungan kasih sayang yang dihalalkan Allah dengan lafaz akad yang diiktirafNya. Lafaz itu pula sangat mudah, semudah “AKU TERIMA NIKAHNYA.” Pun begitu, tanggungjawab dan kesan lafaz itu akan menjadi sebab penentuan lokasi kita di akhirat kelak syurga atau neraka. Pesanan Tuan Guru Nik Abdul Aziz itu saya gigit kemas dengan geraham sehingga hari ini. Semoga perkongsian ini akan membantu menambah keberkatan rumah tangga kita semua.
 
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari
* Dapatkan buku penulis:
http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/
http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/
http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/
http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments: