Ingatlah terakhir Rasulullah SAW yang berpesan terus kepada suami.
Rasulullah SAW,” sebagaimana kamu mempunyai hak keatas isteri kamu,
mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan
hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan
pakaian dalam suasana kasih sayang.”
Rasulullah SAW menyambung lagi, “layanilah wanita-wanita kamu dengan
baik, berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka
adalah teman dan pembantu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah
mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke
dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
”
Begitulah seriusnya Rasulullah SAW mengingatkan para suami tentang
tanggung jawabnya terhadap isteri. Justeru, keluarga adalah teras dan
asas dalam perhubungan antara manusia dengan manusia sebelum adanya
hubungan masyarakat, negara dan ummah. Jika hubungan keluarga sudah
berantakan, maka hancurlah hubungan-hubungan yang lain. Dan di dalam
sebuah rumah tanggalah tegaknya kepimpinan seorang lelaki bernama suami.
Jangan harap seseorang mampu memimpin ummah sebelum berjaya memimpin
orang rumah.
Sebuah rumah-tangga juga bolehlah diumpamakan sebagai sebuah kapal
yang sedang belayar. Suami ialah nakhodanya. Peranan nakhoda sangat
penting kerana dia bukan sahaja perlu memastikan keselamatan para
penumpang tetapi pada masa yang sama dia perlu memastikan kapal yang
dikemudikannya itu sampai ke matlamat. Begitulah suami, dia mesti
menyelamatkan isterinya daripada kesengsaraan hidup dunia sekali gus
mencapai keredaan Allah di akhirat.
Sehubungan dengan itu terdapat beberapa keperluan (zahir dan batin)
yang mesti diusahakan oleh seorang suami sebagai melengkapkan infra
struktur dan prasarana dalam menyara hidup, mendidik dan memimpin
isterinya. Tugas memenuhi keperluan ini merupakan tanggung-jawab paling
asasi dan faktor yang paling kritikal untuk menentukan kejayaan ataupun
kegagalannya dalam sesebuah rumah-tangga.
Sebagai imam, suami pada dasarnya wajib memenuhi empat keperluan
isterinya. Pertama, keperluan fizikal dan material, yakni soal
makan-minum, pakaian, tempat tinggal dan sakit demam isterinya. Ini
merupakan keperluan paling asas. Selalunya, ini merupakan bukti paling
asas bahawa suami itu bertanggungjawab. Selagi keperluan ini dipenuhi,
maka itu petunjuk bahawa suami masih mahu bertanggungjawab walaupun
mungkin ada kelemahan dalam memenuhi keperluan-keperluan yang lain.
Kedua, keperluan akal (ilmu). Para suami wajib mengajar isterinya
ilmu fardu Ain. Soal taharah, wuduk, solat dan lain-lain. Adalah
menjadi tanggungjawab suami mengenalkan isterinya kepada Allah, Rasul
dan lain-lain elemen dalam rukun iman (Tauhid). Kemudian disusuli
cara-cara beribadah asas dalam rukun Islam (Feqah) diikuti pengamalan
nilai-nilai mulia pada diri (adab & akhlak).
Ketiga, keperluan emosi. Jangan hanya memberi makan dan minum kepada
isteri, tetapi seorang suami mesti memberi kasih sayang kepada
isterinya. Sehubungan itu, untuk membina dan mengekalkan kasih sayang,
maka suami harus menjadi pendengar yang baik pada isterinya. Ingatlah,
tanggungjawab pertama cinta ialah mendengar. Suami yang baik ialah
seorang pendengar yang baik. Selalunya bertanya, bilakah kali terakhir
kita menjadi pendengar yang baik kepada isteri? Apabila pulang daripada
kerja, apakah suami memilih untuk menjadi pendengar kepada isteri yang
ditinggalkan di rumah?
Mungkin, banyak yang ingin diceritakan atau disuarakan oleh isteri
yang berada di rumah, namun suami ada kalanya menjadi ‘tuli’ kerana
merasakan masalah-masalah lain jauh lebih besar berbanding apa yang
dialami isterinya di rumah. Suami yang baik akan menjadi pendengar yang
baik kepada cerita, berita, luahan rasa isterinya. Walaupun mungkin yang
diperkatakan itu sudah berkali-kali dan kerap kali diulang-ulang,
tetapi suami yang setia tidak akan jemu-jemu mendengarnya.
Keempat, keperluan batin atau rohani. Ini bukan sahaja merujuk kepada
keperluan seksual, tetapi keperluan mendapat pendidikan dan akhlak yang
baik untuk diteladani. Keperluan ini sangat sukar diisi oleh suami
sedangkan ini adalah keperluan yang paling utama dibandingkan
keperluan-keperluan yang lain. Bukan itu sahaja malah ada suami yang
tidak menganggap soal ini sebagai satu keperluan pun. Apa yang
dipentingkan hanyalah keperluan fizikal dan akal semata-mata.
Sedangkan keperluan yang keempat inilah yang akan membawa
keselamatan di dunia dan akhirat. Islam juga sangat mementingkan
persoalan ini berdasarkan perintah Allah dalam Al Quran:“Wahai orang
yang beriman, selamatkanlah diri mu dan keluarga mu daripada azab api
neraka.”
Ada suami yang bertungkus lumus memenuhi keperluan fizikal dan akal
isteri dengan anggapan mereka sudah pun menjalankan tugas suami dengan
baik, sedangkan pada hakikatnya mereka bukanlah suami yang baik kerana
mengabaikan keperluan emosi dan hati isteri. Sebab itulah tidak hairan
jika kita dapati ramai isteri yang tertekan emosi dan terdera jiwanya
kerana rohani mereka kosong, tidak pernah terisi.
Suami mestilah seorang individu yang ‘serba boleh’ . Suami
bukanlah seorang individu yang jumud sebaliknya memiliki kepelbagaian
watak selaras dengan kepelbagaian peranannya bagi mengisi empat
keperluan yang berbeza itu. Di rumah baginda sentiasa tersenyum, ceria
dan menolong kerja-kerja rumah. Hanya apabila azan bergema baginda akan
berhenti dan serta merta menuju ke masjid seolah-olah tidak mengenal
isterinya lagi.
Jangan terkejut jika diberitakan ada kalanya baginda akan mandi
bersama dengan isterinya dan mencedok air dari bekas yang sama. Bukan
berlakon-lakon, jauh sekali mengada-mengada, tetapi itulah realiti
peribadi Rasulullah, insan paling kasih, paling sayang, yang segala
perbuatannya lahir dari hati nurani yang paling murni. Sifat romantiknya
lahir dari hati.
Banyak kali baginda mengingatkan, agar suami berlaku baik kepada
wanita dan digalakkan bergurau senda dan bermain-main dengan isteri.
Baginda bersabda:” bermain-main itu boleh dalam tiga hal. Ketika melatih
kuda mu, memanah dan bercanda dengan isteri mu.” Biasa baginda mencium
isterinya, ketika hendak berpergian jauh ataupun dekat, lama atau
sekejap. Ciuman yang bukan hanya apabila nafsu bergolak, tetapi ciuman
cinta yang lahir dari hati yang penuh kasih, kasihan dan sayang.
Rasulullah SAW adalah suami yang ‘sporting’. Suatu ketika pada suatu
Hari Raya, Sayidina Abu Bakar masuk ke rumah Aisyah RA yang mana pada
ketika itu ada dua orang perempuan sedang menari dan memukul gendang,
sedangkan nabi menutup dirinya dengan baju (tidak melihat), maka Abu
Bakar yang melihat keadaan itu membentak kedua-dua wanita tersebut, lalu
Rasulullah menampakkan wajahnya seraya berkata, “hai Abu Bakar,
biarkanlah mereka, sekarang adalah Hari Raya.”
Perkahwinan bukan hanya hubungan badan, tetapi merupakan hubungan
fikiran, perasaan dan hati antara suami isteri. ‘Orang rumah’ bukanlah
wanita yang hanya tinggal serumah tetapi sama-sama mendirikan sebuah
rumah tangga. Suami seharusnya sentiasa ingat, isterinya adalah seorang
wanita yang telah meninggalkan ibu, bapa dan seluruh anggota keluarganya
untuk hidup bersama kita. Untuk mendapat haknya (hak suami) yakni kesetiaan dan
kepatuhan, seorang suami perlulah terlebih dahulu menunaikan hak
isterinya.
Hanya setelah kita memberi, barulah kita boleh menerima. Justeru,
teladanilah suami seperti Rasulullah, barulah isteri akan meneladani
isteri seperti Khadijah dan Aisyah. Ingatlah, sukar bagi seorang suami
ke syurga sekiranya isterinya tidak ikut serta. ‘Lesen’ seorang suami ke
syurga hanya dapat dimilikinya setelah dia ditanya tentang segala
tanggungjawabnya melindungi, memimpin dan menyayangi isterinya. Ayat
Quran yang berbunyi, “selamatkanlah diri mu dan keluarga mu daripada api
neraka” sesungguhnya ditujukan untuk pertama dan paling utama ialah
kepada para suami!
C&P DARI USTAZ PAHROL JUOI