ENTRY-ENTRY BARU..JOM JENGUK

Thursday, October 5, 2017

Cakapla baik-baik

"Ambiklah anak ni. Tak nampak ke aku nak makan. Nak makan pun tak senang".

Wanita itu lekas-lekas mengeluarkan anak kecilnya dari highchair. Seorang lagi anak yang besar sedikit dipimpin bersama. Dia membawa mereka ke taman permainan medan selera. Air yang dipesannya terbiar di atas meja. Tidak sempat dijamah sedikitpun.

Saat saya dekati (secara kebetulan kerana mahu mengajak pulang anak yang bermain di taman permainan) dia pantas menyeka air mata. Saya pura-pura tidak nampak. Tidak cukup keberanian untuk mencampuri urusan rumah tangga orang tidak dikenali. Namun hati saya meronta hiba. Melihat air mata seorang wanita tumpah kerana terluka diherdik suaminya. Mengapa ada lelaki tergamak melayan seorang isteri dengan kejam sebegitu rupa.

Suami, itukah contoh yang mahu ditunjukkan kepada anak-anakmu. Betapa engkau tidak menghormati ibu yang melahirkannya.

Dua kemungkinan apabila anak itu dewasa, sama ada dia tidak menghormati wanita kerana terbiasa melihat engkau menghina mereka. Atau dia tidak menghormati engkau kerana menyakiti orang yang dihormatinya. Kedua-duanya bernatijah serupa - lebih banyak buruk berbanding baiknya. Kemungkinan yang pertama itu umpama vicious cycle berulang kembali dan kau perlu menyaksikannya dengan penuh rasa bersalah yang menyeksa hati (tipulahkan kalau kau kata sikitpun tidak terusik bila tengok perangai buruk anak sebiji perangai kau). Manakala kemungkinan yang kedua akan menghumban engkau dalam derita dibenci darah daging sendiri.

Andai isteri ada berbuat silap sehingga tahap tiada kemaafan janganlah disimpan lagi, lepaskanlah dia pergi. Jika silapnya dia masih dalam lingkungan boleh dimaafkan, lalu kalian terus kekal dalam ikatan pernikahan, layanilah dia dengan sepatutnya sebagai seorang isteri. Berlemah lembut bila berkata-kata, bersopan bila meminta, berhikmah bila menegur salahnya, dan maruahnya sentiasa dipelihara.

Jika kau kata kau jadi begitu kerana pekerjaanmu, bahawa engkau letih berkerja menanggung kewangan keluarga, jangan lupa, isterimu letih juga menguruskan rumah tangga. Bapa-bapa, datuk moyang kita dahulu bersawah bendang, teroka hutan buka ladang. Bercerai talak hampir tiada. Keganasan rumah tangga, sampai tercedera, malah terbunuh anak isteri adalah perkara yang sangat asing bagi mereka. Rata-ratanya bercinta sampai hujung nyawa, bercerai mati sudah jadi impian sejak dari muda. Isteri sudah kedut kulit, umur 90 tahun pun masih manis layanannya. Tegurnya dalam gurau beralas ketawa.

Jika rasa kau kedudukanmu sebagai suami mulia, apa isterimu bukan manusia?

Jika katamu kerana fitrah lelakimu kasar sejak azali, andai diletakkan engkau dalam kumpulan 10 lelaki yang mana 9 daripadanya boleh menyantuni para isteri, kau mahu beralasan mereka itu semua awww cuma engkau seorang lelaki sejati?

Jika alasanmu kerana engkau berkerja besar maka pada hematmu isterimu perlu tunduk patuh segala arahan, kau lupakah kepada Baginda Nabi, penyandang jawatan paling penting atas muka bumi?

Jika dakwamu kerjamu sibuk sehingga engkau perlu masa untuk diri sendiri, cuba risik-risik doktor yang baru pulang on call jam 7 pagi, pukul 10 keluar lagi temani isteri membeli lauk basah untuk masak tengah hari. Sekali sekala pergi tanya abang garbage collector yang ikut trak angkut sampah bagaimana tugas mereka. Seawal 4 pagi sudah bersedia, angkat tong sampah berat bukan setaman dua tapi sedaerah perginya. Selalu kita dengar orang begini santun dan peramahnya masha Allah, hebat belaka. Orang yang tidak dikenali sedang undur kereta hendak keluar mencari rezeki pagi pun disapa sambil-sambil mereka berkerja. Melihat itu sudah boleh diagak bagaimana layanan kepada isteri dan anak-anaknya.

Kalau kau rasa tidak adil untuk membandingkan diri kau dengan orang lain, ingatlah atas muka bumi ini bukan engkau hidup seorang diri. Sesekali perlu juga bercermin dengan orang kanan kiri sebagai tamsilan diri. Supaya bila rasa tidak malu menjadi jahat, belum sampai seru takutkan akhirat, fikirlah andai menjadi buah mulut bahan mengumpat, segan juga hendak berdepan dengan masyarakat.

Pokok pangkal bang weh, tiada alasan hendak kurang ajar bercakap meninggi menengking sana sini. Lebih-lebih lagi kepada isterimu yang berkorban segalanya untuk engkau berada di tempat engkau hari ini. Sihatmu itu pun bukan tentu kekal sampai mati. Entah esok lusa kena strok lumpuh badan, tidak boleh bergerak tangan kaki, isteri dan anak-anaklah harapan pertama untuk mengurus diri.

Di mahkamah Allah nanti, anak isteri imbangan diri. Terhantar ke syurga, atau terlontar ke neraka, amanahmu itulah pemberatnya. Dunia ini tidak abadi.

Kalau tidak mampu jadi baik, paling kurang cakaplah baik-baik.

#pleasedonotdodrug
#dadahmusuhnegara
#contraceptionisyourright

🔔copy n paste

No comments: