ENTRY-ENTRY BARU..JOM JENGUK

Tuesday, July 10, 2018

Online je..takde kerja lain ke? Terpakai untuk lakibini

“Selalu tengok kau online. Tak ada kerja lain ke?”

Bukan sedikit yang bertanya soalan begini. Mahu jawab pun rasa serba salah. Sebab ini berkait rapat dengan hati. Kah kah kah.

Jujur. Saya sendiri rasa seperti sudah ketagih dengan gajet, sama ada telefon bimbit mahu pun komputer riba. Kadang-kadang terasa seperti mahu berjumpa psikitari pula. Walaupun begitu, saya cuba alihkan masalah ini dengan menghasilkan sesuatu yang boleh memberi keuntungan. Seperti menulis cerpen, buku, artikel dan sebagainya. Setidak-tidaknya ketagihan itu tidak nampak sia-sia.

“Isteri tak marah?”

Mahu tak marah! Kalau diikutkan, isteri memang marah dengan kecanduan yang berlaku. Masam muka jangan cerita. Sakit hati pun kadang-kadang ada. Tapi semakin lama, semakin saya jumpa kunci untuk meredakan keresahan dan kemarahan isteri. Meh saya kongsikan.

1. Bila kita menghadap telefon, pastikan kerja-kerja rumah pun kita buat juga. Yalah, siapa yang tak marah, kan. Penat-penat isteri buat kerja, suami pula asyik sibuk menguis skrin. Nak kata tak berkerja, dua-dua kerja. Sama-sama penat. Nak kata balik lewat, isteri pun balik lewat juga. Betul kan?

Jadi, kepada abang-abang di luar sana, nak membelek telefon tak jadi masalah. Cuma, sambil-sambil tu, tolonglah isteri buat kerja sama.

Lepas makan, basuh pinggan. Alang-alang basuh pinggan, basuhlah senduk kuali sekali. Kemudian, sapu remah yang bersepah atas lantai. Bila tengok baju berlambak tak basuh, tolong basuhkan. Nanti isteri pula yang sidai. Bila anak lapar nak susu, sinsing lengan untuk menggoncang botol. Bila pampers anak penuh, tolong tukarkan. Kalau tengok rumah bersepah, sambil-sambil duduk tu kemaslah sikit-sikit. Kalau berhabuk, tolong isteri lap dan menyapu. Bila isteri dah lipat kain, suami tolonglah susun dalam almari.

“Ehhhh. Kalau semua suami buat, isteri nak buat apa?”

Bang. Pernah tak kau orang cuba buat kerja rumah yang dah jadi rutin isteri tu?

Bangun pagi, gosok baju. Siapkan anak mandi. Siapkan baju anak lepastu kena pakaikan pula. Belum kira nak uruskan anak yang melalak. Dalam masa yang sama dia pula sibuk nak bersiap. Dah siap, ke dapur pula buatkan sarapan atau bekal air untuk keluarga. Susah bang. Kalau tak percaya, esok boleh cuba. Tak payah banyak. Gosok baju cukuplah. Tengok macam mana krem tangan tu.

Bang. Bila kita ada rasa tolak ansur, saya yakin, kalau abang menghadap telefon, laptop, komputer berjam-jam pun isteri tak akan marah. Jangan kata gajet, kau nak pergi memancing berhari-hari pun dia tak kisah punya. Sebab apa? Dalam sibuk kita dengan dunia kita sendiri, kita juga menyenangkan urusan dia. Percayalah bang.

2. Antara perkara yang tak kurang penting yang perlu diberi keutamaan ialah kepercayaan. Saya yakin, isteri saya memberi kebebasan melayari alam maya atas asbab percaya. Ya lah. Telefon saya tak ada password. Bebas diguna oleh anak-anak. Cuma kadang-kadang bila isteri belek WhatsApp, debar juga rasa walaupun macam tak ada buat apa-apa salah. Hahahaha. Kau orang pun sama, kan?

Lebih dari itu, saya juga tidak menjalinkan apa-apa hubungan jiwa sama ada dengan berlainan jantina atau sesama jenis. Nakal-nakal sikit tu ada lah. Kah kah kah. Itulah faktor terbesar mengapa isteri masih percayakan saya.

Kepercayaan ni ibarat kertas bang. Kertas yang elok ialah kertas yang licin dan tidak ada apa-apa contengan di atasnya. Bila kertas itu di ‘keronyok’ dan digumpal menjadi sebiji bola, pasti bila dihampar semula, kertas itu tidak akan menjadi seperti asal.

Samalah seperti kepercayaan. Atau dalam bahasa kampung saya, TRUST. Bila kepercayaan sudah dinodai, kesalahan itu masih boleh dimaafkan. Tetapi sudah pasti tidak akan sama seperti dahulu.

Sebelum apa-apa berlaku, jangan dirosakkan kepercayaan itu ya.

Abang-abang suami yang dihormati.

Bang. Isteri kita bukan hamba. Juga bukan orang gaji yang boleh dipaksa dan disuruh. Isteri itu dicipta daripada tulang yang bengkok. Dekat dengan hati untuk dikasihi. Jangan rasa tinggi untuk turun ke dapur membantu mereka. Jangan berasa malu untuk menggoncang botol susu. Jangan rasa jijik untuk membersihkan najis anak. Persetankan dengan kata-kata takut bini. Itulah harta kita, jiwa dan raga untuk disayangi.

Keterangan gambar.

Hmmmm. Sebelum main henset, kena tolong buat crust cheese tart dulu. Bukan takut bini tapi bini menakutkan. Hahahaha. Sabar ajelah.

No comments: